بسم الله الرحمن الرحيم
PERKARA BERHUBUNG DENGAN TAKLIK TALAK
Di Negara Brunei Darussalam adalah satu kemestian apabila selesai seorang lelaki berlafaz ijab kabul pernikahan akan dikehendaki untuk berlafaz taklik perceraian.
Jika seorang suami tidak memberi wang kepada isterinya melebihi tempoh empat bulan adakah boleh disabitkan talak sesuai dengan lafaz taklik semasa pernikahan itu ?
Jika seorang suami memukul isterinya kerana isterinya tidak mahu menutup aurat adakah si isteri boleh menuntut cerai taklik kerana dipukul?
Persoalan-persoalan seperti di atas sering ditimbulkan dan menjadi persoalan adakah boleh disabitkan talak dengan lafaz taklik itu semata-mata. Adakah jika si suami tidak memberi wang tetapi memberi perbelanjaan lain dengan membeli barang keperluan harian untuk si isteri boleh dikatakan si suami tidak memberi nafkah?
Adakah si suami tidak boleh langsung memukul isterinya? Bagimanakah pukulan yang dibenarkan dan bila?
Semua persoalan-persoalan tadi adalah memerlukan kepada penghuraian yang panjang. Tetapi dalam konteks pensabitan cerai melalui lafaz taklik yang dibuat si suami semasa pernikahan adalah satu perkara yang bukan mudah dibuktikan dengan hanya dakwaan semata-mata. Pihak yang mendakwa adalah mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam Mahkamah semasa kes didengar untik membuktikan kes mereka.
Di negara ini lafaz taklik yang digunapakai semasa selepas suami berlafaz nikah adalah seperti berikut:
“Adalah ……………………….. isteri saya itu manakala saya tinggalkan ia empat bulan atau lebih dengan tidak saya atau wakil saya memberi nafkah kepada isteri saya atau wakil isteri saya yang tersebut dan ianya mengadu kepada Hakim Syarie meminta cerai setelah bersumpah atas tiada dapat nafkah yang tersebut dan bersumpah atas ia tiada nusyuz (derhaka) nescaya tertalak ia satu talak, atau jika saya ghaib atau dighaibkan dengan apa cara juapun daripada isteri saya selama enam bulan atau lebih jika ia mengadu kepada kadi dengan berkata ia tiada tertunggu lagi akan saya dan manakala sabit aduannya nescaya tertalak ia satu talak atau jika saya pukul isteri saya dengan pukulan yang menyakiti dan tiada patut kemudian ia mengadukan halnya itu kepada kadi dan meminta bercerai maka manakala sabit aduannya itu nescaya tertalak ia satu talak. Demikianlah lafaz taklik saya”.
Dengan adanya suami berlafaz taklik tersebut ianya mengikat suami dengan lafaz tersebut. Jika ada perkara-perkara yang dilakukan oleh si suami sesuai dengan apa yang dilafazkan maka berkemungkinan akan sabit perceraian.
Akan tetapi adakah sabit perceraian hanya dengan semata-mata suami tidak memberi nafkah sahaja? Ataupun dalam taklik pukul semata-mata kerana dipukul oleh suami boleh disabitkan talak?
Peruntukan undang-undang bab 45 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga islam),1999 ada menyatakan:
45(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat Sijil Takliq yang dibuat selepas akad nikah, memohon kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan untuk mensabitkan bahawa perceraian demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah sebelum mensabitkan perceraian tersebut hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syara’ Mahkamah hendaklah mensabitkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
Berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas bahawa setiap permohonan untuk pensabitan cerai secara taklik adalah perlu kepada proses perbicaraan Mahkamah untuk menentukan samada boleh disabitkan atau sebaliknya.
Dan dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab pihak yang mendakwa iaitu lazimnya isteri untuk membuktikan kesnya. Tanggungjawab si isteri juga adalah untuk membuktikan semua eleman atau syarat dalam taklik itu dibuktikan kepada Mahkamah. Jika kes dalam perbicaraan si isteri gagal membuktikan dakwaanya atau gagal membuktikan kewujudan eleman atau syarat dalam lafaz taklik tersebut maka kes tersebut boleh ditolak dan digugurkan oleh Mahkamah.
Sebagai satu contoh mudah di dalam tuntutan cerai taklik ialah seperti suami berlafaz seperti ” Jika kau keluar dari pintu hadapan rumah ini maka jatuhlah talak satu”. Berdasarkan contoh lafaz tersebut perkara utama yang perlu dibuktikan ialah kewujudan lafaz taklik itu sendiri. Jika kewujudannya memang telah terbukti maka perkara selanjutnya ialah membuktikan eleman yang terdapat dalam lafaz tersebut telah berlaku. Dalam lafaz contoh itu tadi menyatakan jika ”kau (isteri) keluar dari pintu hadapan rumah”, maka eleman utama ialah si isteri telah keluar dari pintu hadapan rumah. Jika ini berlaku maka kemungkinan lafaz taklik itu akan sabit jatuh talak satu. Akan tetapi jika ini tidak dilakukan oleh isteri yang mana si isteri tidak keluar dari pintu hadapan rumah dan ianya keluar melalui pintu-pintu lain maka perkara ini tidak akan mensabitkan talak.
Contoh mudah lain ialah seperti si suami berkata ”jika kau minum kopi maka jatuh talak”. Maka dalam hal ini jika si isteri meminum teh atau manisan maka tidak akan jatuh talak. Tetapi jika si isteri meminum kopi maka sudah pasti akan jatuh talak.
Kedua-dua contoh mudah yang diutarakan itu tadi adalah sebagai gambaran kepada lafaz taklik yang dibuat oleh suami semasa selepas pernikahan. Jika apa yang dilafazkan oleh suami itu berlaku mengikut semua elemen yang ada dalam lafaz taklik maka kemungkinan akan jatuh talak. Tetapi sebaliknya jika tidak berlaku maka talak tidak akan jatuh. Dan untuk membuktikan semua elemen itu telah berlaku sesuai dengan lafaz taklik maka itu adalah tanggungjawab si isteri selaku pihak Plaintif untuk membuktikan semua elemen itu wujud di hadapan Mahkamah. Jika Plaintif gagal membuktikannya maka kemungkinan kes si isteri itu ditolak oleh Mahkamah.
Tapi apa yang sering berlaku ialah jika kes-kes yang tidak diwakili oleh Peguam Syarie maka si isteri akan gagal untuk membuktikan kesnya di Mahkamah. Si isteri sering gagal memberikan keterangan, gagal membawa saksi, gagal mengemukkan sebarang dokumen atau bukti bagi kesnya.
Dalam kes-kes seperti ini sering timbul tuduhan kepada Mahkamah berlaku tidak adil terhadap si isteri yang teraniya oleh si suami. Dalam perbicaran, Mahkamah adalah sebagai orang tengah yang mendengar pertikaian kedua pihak. Demi prinsip keadilan Mahkamah tidak masuk campur untuk membuktikan kes si isteri sebagai pihak yang menuntut atau Plaintif kerana perkara tersebut adalah tanggungjawab si isteri. Dan jika Mahkamah bertindak membantu si isteri dalam kesnya maka di sini wujud ketidakadilan terhadap si suami dan perkara inilah yang hendak dielakkan oleh Mahkamah. Dari itu pihak-pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam satu-satu kes tersebut. Dan jika pihak-pihak tidak mengetahui peranan dan tanggungjawabn masing-masing dalam Mahkamah maka adalah lebih baik pihak-pihak tersebut menggunakan pihak peguam mewakili mereka. Perkara ini sangat penting untuk menjaga hak individu itu sendiri.
Maka dalam perkara taklik ini pihak-pihak suami dan isteri itu perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang berbaur talak yang tergantung kepada sesuatu. Kerana lafaz taklik itu boleh sahaja akan menjatuhkan talak jika ianya dilakukan sesuai dengan lafaz taklik itu. Begitu juga dengan lafaz taklik yang dilafazkan semasa selepas pernikahan hendaklah si suami khususnya perlu melakasanakan tanggungjawab apa yang sepatutnya dilakukannya terhadap isteri sesuai dengan kehendak ugama Islam. Sekian
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 15 April 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan