Isnin, 18 Februari 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

*PERKARA BERHUBUNG DENGAN POLIGAMI

“Mahkamah dapati awak adalah tidak layak untuk berpoligami dari itu permohonan awak untuk berkahwin lagi adalah ditolak dan tidak dibenarkan!”.

Itulah antara kalimat yang akan keluar dari Hakim Syarie semasa membuat keputusan permohonan berpoligami seorang pemohon yang ditolak oleh Mahkamah. Si Pemohon sudah pasti terkedu dan tersandar di kursi Mahkamah selepas keputusan itu diberikan. Apa agaknya yang bermain difikirannya pada masa itu ?

Persoalannya, mengapa permohonan tersebut ditolak oleh Mahkamah sedangkan Islam mengharuskan untuk berpoligami?

Poligami adalah satu perkara yang memang diharuskan oleh syara’. Dan perkara tersebut memang tidak perlu lagi dihujjahkan akan kesahihannya. Dan kita jangan seperti sesetengah orang di sesebuah negara yang mahukan satu peruntukan undang-undang supaya berpoligami itu diharamkan.

Jangan pula kita cuba jadi hero untuk memperjuangkan sesuatu yang sudah diharuskan syara’. Yang mana perkara tersebut menampakkan kejahilan tentang hukum-hakam syara’ dan yang paling dikhuatiri perkara ini boleh jadi akan menjejaskan keimanan kita sebagai seorang muslim. Isu yang perlu diperjuangkan ialah hak pihak-pihak dalam berpoligami tersebut.

Jika merujuk kepada peruntukan undang-undang mengenai berpoligami ada dinyatakan dalam bab 23 dari Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 yang menyatakan:

(1)        Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan lain di mana-mana tempat juapun dalam masa ia masih beristerikan isteri yang sedia ada kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran dalam borang yang ditetapkan daripada Hakim Syarie dan jika ia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut maka perkahwinan itu hanya boleh didaftarkan di bawah Perintah ini tertakluk kepada bab 123, setelah mengisikan borang yang ditetapkan mengenainya.

(2)        Permohonan untuk kebenaran dalam ceraian (1) hendaklah dikemukakan kepada Hakim Syar’ie mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertakan dengan suatu akuan bertulis yang menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir kometmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang dapat ditentukan, bilangan orang tanggungannya termasuk orang-orang  yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu dan sama ada izin atau pandangan isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwianan yang dicadangkan itu.”.

(3)        Apabila menerima permohonan itu, Hakim Syarie hendaklah mendengarnya dan setelah bayaran yang ditetapkan dibayar, Hakim Syarie boleh memberikan kebenaran dalam borang yang ditetapkan setelah berpuashati akan kesahihannya dan ianya patut untuk dibenarkan mengikut hukum Syarak.

Berdasarkan kepada peruntukan tersebut di atas, pada pendapat penulis Mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan satu-satu permohonan berpoligami tersebut kecuali setetelah Mahkamah benar-benar berpuashati bahawa pemohon tersebut adalah telah benar-benar mengikuti garis pandu hukum syara dan undang-undang. Tujuan perkara tersebut diambil kira oleh Mahkamah ialah untuk menjaga kepentingan banyak pihak yang di antaranya ialah isteri yang sedia ada, anak-anak, tanggungan, bakal isteri dan sebagainya. Semua perkara ini perlu diambil kira oleh Mahkamah dengan teliti agar hak-hak mereka terpelihara dan dijaga agar tidak timbul kesulitan dan sebagainya kepada mereka kemudian hari.

Ada terdapat beberapa contoh kes yang mana permohonan berpoligami tersebut patut dan wajar ditolak oleh Mahkamah antaranya ialah :

Contoh kes pertama: Alasan pemohon untuk berpoligami untuk mengelak diri dari melakukan maksiat. Dengan alasan ini mereka berpendapat permohonan mereka boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah. Tetapi setelah diperiksa oleh pihak-pihak didapati alasan tersebut adalah tidak patut dan tidak membawa kepada perlu pemohon untuk berpoligami. Alasan seperti ini lazim dipersoal oleh pihak responden iaitu isteri yang sedia ada kerana alasan ini boleh dielakkan oleh pemohon dengan menghindari perbuatan maksiat tersebut dan jika dihindari maka tidak ada alasan untuk berpoligami.

Contoh kes kedua: Pemohon memberi alasan responden iaitu isterinya yang sedia ada tidak melayan kehendak batin pemohon. Alasan ini turut dipertikai responden kerana pemohon sendiri tidak pernah meminta dari responden perkara tersebut.

Contoh kes ketiga : Pemohon memberi alasan ada kemampuan zahir dan batin. Dalam borang permohonan, pemohon menyatakan ada kemampuan kewangan yang banyak dari segi pendapatan pada setiap bulan yang boleh dianggap mampu untuk berpoligami. Akan tetapi apabila pemeriksaan dibuat oleh pihak-pihak dalam perbicaraan, responden akan mengemukakan tanggungan-tanggungan kewangan yang berat seperti hutang-hutang kepada pihak kerajaan, bank, pembiayaan anak belajar d luar negeri, letrik, air dan yang lainnya yang mencecah melebihi pendapatannya pemohon.

Dalam contoh ketiga-tiga kes ini penulis rasa pembaca boleh mengagakkan keputusan Mahkamah samada membenarkan atau sebaliknya.

Maka bertolak dari sini, adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk membuktikan dan meyakinkan kepada Mahkamah agar alasan yang diberikannya bagi permohonan berpoligami tersebut dan semua apa yang ada dalam kehendak hukum syara dan undang-undang bab 23 tersebut dipatuhi sebelum ianya boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah.

Dan adalah juga menjadi tanggujawab responden iaitu isteri yang sedia ada untuk mengemukakan kepada Mahkamah bukti-bukti bahawa pemohon adalah tidak layak untuk berpoligami. Responden juga pada dasarnya adalah bertanggungjawab kepada Mahkamah untuk membantu Mahkamah sebelum satu-satu permohonan itu dibenarkan.

Pihak isteri jangan sampai tidak mahu menghadirkan diri semasa perbicaraan kes. Dan janganlah beranggapan jika tidak hadir semasa perbicaraan, kes tidak akan dapat berjalan. Pendapat ini adalah salah dan tidak betul. Dan ini adalah amat merugikan pihak isteri sendiri kerana jika saman sempurna diterima dan gagal menghadirkan diri semasa perbicaraan maka perbicaraan itu boleh didengar dan diputuskan tanpa kehadiran pihak isteri. Ini merujuk peruntukan bab 124(1)(b) dari perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah  Syariah, 2005 yang menyatakan :

124.     (1)       (b)       jika defendan tidak hadir, tertakluk kepada pembuktian formal penyampaian saman, membicarakan dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya ;

Peruntukan tersebut adalah jelas menyatakan kegagalan isteri hadir semasa perbicaraan sedangkan ianya telah menerima saman dengan sempurna maka Mahkamah akan mendengar dan akan memutuskan kes tersebut tanpa kehadiran si isteri. Dan jika ini tindakan si isteri maka ianya jelas merugikan diri sendiri.

Kepatuhan semua kehendak di dalam bab 23 dari Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga), 1999 adalah adalah perlu dalam Mahkamah menimbangkan satu-satu permohonan berpoligami itu. Jika mana-mana kehendak peruntukan tersebut tidak dipatuh,i kemungkinan permohonan  untuk berpoligami itu ditolak oleh Mahkamah. Pembuktian dalam tuntutan berpoligami itu adalah menjadi tanggungjawab pemohon. Dan adalah menjadi tanggungjawab responden (isteri) untuk membuktikan sebaliknya iaitu ketidak mampuan suaminya semasa dalam perbicaraan. Kedua-dua keterangan kedua pihak ini akan ditimbang oleh Mahkamah samada membenarkan permohonan pemohon atau sebaliknya.. Sekian

*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 25 April  2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan