Selasa, 12 Februari 2013


بسم الله الرحمن الرحيم

*SULH

Sulh atau kadang-kadang lidah kita lebih mudah menyebut dengan “suluh” adalah bukan satu perkara baru dalam proses Mahkamah Syariah. Sepertimana yang penulis pernah menyebut sebelum ini, proses atau prosedur Mahkamah bukanlah semua orang boleh memahaminya. Ini adalah kerana ada yang melibatkan isu atau perkara undang-undang dan ada juga yang berkaitan dengan isu prosedur. Begitu juga proses di peringkat perbicaraan yang adakalanya Mahkamah terpaksa ikut campur menerangkan kepada pihak-pihak apa yang sepatutnya mereka buat sesuai dengan kehendak undang-undang. Namun perlu diingat Mahkamah juga mempunyai had batasan agar tidak terlalu turun padang kerana boleh dianggap berat sebelah oleh pihak yang satu lagi. Dan perkara inilah yang perlu dielakkan oleh Mahkamah.

Maka oleh kerana banyaknya prosedur yang wajib dipatuhi sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang menyebabkan pihak-pihak yang bertikai mencari alternetif untuk penyelesaian kes mereka itu dengan secara  baik iaitu melalui cara sulh.

Ada juga pihak-pihak yang bertikai itu yang mahu penyelesaian secara baik kes mereka kerana kedua pihak redha dengan keputusan yang mereka telah capai bersama. Perkara ini juga merupakan apa yang disebutkan sebagai sulh.

Dalam bab 98 dari Perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005 ada memperuntukan sulh sebagai salah satu penyelesaian pihak-pihak yang bertikai :

98.       Mahkamah hendaklah menggalakkan pihak-pihak dalam mana-mana prosiding mengadakan sulh mengikut Hukum Syara’ bagi menyelesaikan pertikaian mereka.

Apabila adanya persetujuan penyelesaian pihak-pihak tentang apa-apa pertikaian maka Mahkamah boleh mengeluarkan satu perintah berhubung dengan penyelesaian tersebut. Pihak-pihak perlu menyatakan kepada Mahkamah apa-apa bentuk penyelesiaan tersebut. Sebagai contoh :

Contoh pertama mengenai hadhanah :

Pihak A dan pihak B bersetuju supaya pihak A diberikan hak penjagaan anak dan pihak B diberikan hak lawatan dalam tempoh tertentu dalam seminggu.

Contoh kedua mengenai harta sepencarian iaitu sebuah rumah:

Pihak A bersetuju untuk menyerahkan rumah kepada pihak B dan pihak B perlu membayar sumbangan pihak A sebanyak $90,000. kepada pihak A secara beransur-ansur sebanyak $5,000 sebulan sehingga selesai.

Penyelesaian dalam contoh-contoh di atas adalah dibolehkan oleh syara’ dan undang-undang.

Allah subhanhu wataala berfirman dalam surah al-Nisa ayat 128 yang maksudnya “Perdamaian atau sulh itu adalah lebih baik”

Dalam bab 134 Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005 menyatakan :

134.          Penghakiman atas pengakuan atau persetujuan pihak-pihak secara sulh boleh dicatatkan oleh Mahkamah pada mana-mana peringkat prosiding.

Dalam penghakiman seorang hakim, ianya akan memutuskan sesuatu hukuman berdasarkan apa yang didengarkan kepadanya sahaja secara zahir. Dan apa yang disembunyikan dari pengetahuan hakim adalah diluar kuasa seorang hakim. Adakala salah seorang dari pihak yang bertikai itu sangat pintar dan dapat mempengaruhi hakim yang mendengar kes sedangkan pihak yang satu lagi sebaliknya. Maka hakim yang mendengar akan memutuskan keputusan berdasarkan kepada apa yang telah dihujjahkan kepadanya. Dalam hal ini  Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Dari Ummu Salamah berkata:  Pada suatu hari telah datang ke rumah baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dua orang lelaki yang bertikai tentang harta pusaka yang telah lama (tidak diselesaikan) dan mereka tidak mempunyai bukti, maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pun bersabda kepada mereka : “Sesungguhnya kamu datang mengadukan pertikaian kamu kepadaku, sedang aku ini seorang manusia, boleh jadi di antara kamu lebih pintar dalam menghuraikan hujjahnya daripada yang lain, aku hanya memutuskan perkara yang dipertikaikan menurut apa-apa yang aku dengar daripada keterangan yang kamu berikan. Maka sesiapa yang aku perakui keterangannya kerana padainya ia memberikan keterangan dan aku hukumkan baginya sesuatu dari hak saudaranya, bermakna aku telah memberikan kepadanya sepotong api neraka. Dia akan meletakkan apa-apa yang dihukumkan baginya itu dilehernya untuk menjadi alat pembakar api pada hari kiamat”. Setelah baginda bersabda demikian kedua-duanyapun menangis. Mereka pun berkata : Hak kepunyaanku kuberikan kepada saudaraku ini. Mendengar keputusan mereka itu Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pun bersabda : “Bangunlah dan pergilah bahagikan harta itu dengan sama antara kamu, kemudian bersaudara-saudaralah kamu atas hak tadi dan berhalal-halallah kamu antara dua sahabat”.

Maka berdasarkan kepada hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam itu tadi adalah jelas kepada kita bahawa seseorang yang mendapat sesuatu yang bukan haknya maka nerakalah yang akan diterimanya. Maka dalam hal ini kita perlulah berhati-hati dalam menuntut sesuatu. Haruslah difikirkan adakah itu hak sebenar kita atau hak kepunyaan orang lain?. Jika kita merasa itu bukan hak kita maka lebih baik ditinggalkan. Dan jika kita benar-benar yakin itu hak sebenar kita maka sewajarnyalah kita menegakkan keadilan menuntut hak kita itu.

Dalam hal ini juga mungkin bersandarkan kepada hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam itu tadi juga ada pihak-pihak takut untuk menuntut haknya kerana masih was-was adakah itu hak sebenar mereka atau sebaliknya ataupun hak bercampur-campur. Dan inilah juga yang menyebabkan sesetengah pihak bersepakat membuat penyelesaian sulh dengan berunding secara baik iaitu saling redha meredhai agar kedua pihak selamat dari termakan hak orang lain. Inilah perkara yang terbaik agar kedua pihak bertikai tidak ragu-ragu akan menerima hak masing-masing yang dipersetujui.

Keputusan berdasarkan sulh adalah yang terbaik kerana jika keputusan yang dibuat oleh Mahkamah kemungkinan salah satu pihak tidak akan berpuashati dengan keputusan tersebut. Dan adakalanya juga kedua-dua pihak tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah. Namun tidak juga dinafikan ada keputusan yang Mahkamah telah putuskan kedua pihak berpuashati dengannya. Dalam hal ini jika pihak-pihak bertikai mahu keputusan yang saksama dan kedua pihak redha maka jalan terbaik ialah dengan cara sulh.

Perlu juga diingat bahawa tidak semua perkara yang dipersetujui melalui sulh itu boleh diterima oleh syara’ dan Mahkamah. Dan adalah menjadi salah satu syarat dalam satu-satu penyelesaian sulh itu hendaklah perkara yang dipersetujui itu bukan perkara-perkara yang menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal dan hendaklah juga tidak bercanggah dengan undang-undang.

Dengan adanya penyelesaian kes dengan cara sulh ini selain pihak-pihak saling redha meredhai dan berpuashati ianya juga telah menjimatkan masa dan kos pihak-pihak dan juga Mahkamah. Dengan adanya sulh ini juga Mahkamah boleh mendegar kes-kes yang lain yang memerlukan kepada perbicaraan penuh untuk didengar. Sekian.

*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 14 Mac 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan