Selasa, 19 Februari 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

*BERPOLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Sebelum ini penulis telah membincangkan mengenai dengan berpoligami menurut kontek hukum syara dan undang-undang. Dengan adanya peraturan dan undang-undang mengenai dengan berpoligami maka banyak pihak berpendapat khususnya warga lelaki yang menganggap ianya adalah menyekat hak mereka berdasarkan hukum Islam. Maka dengan alasan itu ada yang berani dan sanggup bernikah di luar negara tanpa kebenaran Mahkamah.

Persoalannya adakah pernikahan mereka itu sah menurut hukum syara’ dan diiktiraf oleh undang-undang negara Brunei Darussalam?

Adakah terdapat tindakan-tindakan tertentu bagi menghukum pelanggar peraturan tersebut?

Bagi menjawabnya, memang tidak dapat dinafikan adanya trend sedemikian kerana hanya untuk melepaskan diri dari peraturan dan undang-undang. Adapun tujuan sesuatu peraturan dan undang-undang itu digubal adalah bertujuan untuk kebaikan dan menjaga hak semua pihak semata-mata. Tujuan kebaikan tersebut mungkin tidak terbayang pada hari ini tetapi akan nampak apabila timbul sesuatu keadaan pada masa akan datang.

Mereka yang bernikah tanpa kebenaran di luar negara dan dalam masa yang sama sudah mempunyai isteri yang sah di negara ini tidak akan terlepas dari pengenaan hukuman. Seseorang yang bernikah tanpa kebenaran lazimnya apabila balik ke negara ini akan merasakan sudah cukup bagi mereka dengan pernikahan tersebut tanpa apa-apa tindakan lanjut seperti mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, Pembubaran, Perceraian dan Rujuk Orang-Orang Islam. Mereka berdiam diri sahaja tanpa hiraukan kehendak undang-undang yang menghendaki mereka untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut seperti kehendak bab 29 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.

29.       [1]       Setiap warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah sah berkahwin di luar negara mengikut Hukum Syara’, hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Negara Brunei Darussalam dengan cara kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Negara Brunei Darussalam -

Pada lazimnya mereka yang berkenaan akan mendaftarkan pernikahan mereka bila sudah diserbu oleh penguatkuasa Agama kerana didapati bersekedudukan tanpa nikah yang sah dan sijil nikah mereka diragui. Kerana takut didakwa kesalahan khalwat atau kerana melakukan persetubuhan haram barulah sibuk untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

bab 29 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.

29.       [1]       Setiap warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah sah berkahwin di luar negara mengikut Hukum Syara’, hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Negara Brunei Darussalam dengan cara kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Negara Brunei Darussalam -

Pihak-pihak yang melakukan pernikahan di luar negara tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan jika berhajat untuk mendaftarkan perkahwinan mereka, perkahwinan tersebut hanya boleh didaftarkan atas perintah mahkamah setelah adanya pengesahan pernikahan tersebut.

Maka pihak-pihak tersebut perlulah membuat permohonan kepada Mahkamah untuk pengesahan pernikahan tersebut dan perlu melalui proses perbicaraan.

Jika pernikahan mereka disahkan maka barulah boleh didaftarkan akan tetapi itupun tertakluk kepada bab 38(2) dan bab 123 merujuk bab 23 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 yang mengenakan hukuman-hukuman seperti berikut:

38.       (2)       Seseorang yang berkahwin atau dikatakan berkahwin atau menjalani sesuatu upacara akad nikah dengan sesiapa juga bertentangan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.

123.     Seseorang lelaki yang berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahuludaripada Hakim Syarie adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.

Setelah dikenakan hukuman denda tersebut barulah pernikahan tersebut boleh didaftarkan.

Berdasarkan kepada peruntukan yang disebutkan tadi dapat dihuraikan bahawa, jika seseorang itu bernikah di luar negara tanpa kebenaran dan pernikahan itu pula adalah pernikahan poligami juga tanpa kebenaran serta gagal melaporkan pernikahan itu maka hukuman-hukuman yang dinayatakan tadi akan menanti iaitu:

1-Bagi kesalahan bernikah diluar negara tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali

2-Bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali

3-Bagi kesalahan gagal mendaftarkan perkahwinan di hadapan Pendaftar Perkahwinan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali

Itulah sebahagian hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tadi. Namur perlu diingat  adanya kemungkinan-kemungkinan seperti pihak isteri akan mengambil tindakan yang sesuai bagi pendapat mereka terhadap suami mereka berdasarkan menuntut hak  seperti menuntut suami hidup bersama bab 127, menganyiaya isteri bab 128, tidak memberi keadilan bab 129 dan sebagainya yang mana setiap satu kesalahan bagi perkara-perkara tadi jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.

Maka berdasarkan kepada apa yang penulis utarakan tersebut mengenai dengan kesulitan-kesulitan yang akan dihadapi oleh pihak-pihak yang melakukan kesalahan bernikah dan berpoligami tanpa kebenaran bolehlah mengambil iktibar darinya supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang negara agar tidak dikenakan tindakan-tindakan yang jelas merugikan mereka. Fikirkanlah dahulu sebelum bertindak terburu-buru agar tidak menyesal kemudian hari.

Sebagai peringatan juga pihak perempuan yang dikahwini tanpa kebenaran perlu juga tahu bahawa pernikahanan di luar negara tanpa kebenaran akan menjejaskan banyak hak-hak mereka seperti menuntut nafkah isteri, anak-anak, hak berpoligami bahkan sering kedengaran kesukaran menuntut cerai dari suami kerana di gantung tidak bertali, tidak ada hak taklik sepertimana pernikahan yang berlangsung di negara ini. Semua perkara ini patut diambil perhatian semua pihak agar tidak timbal penyesalan di kemudian hari nanti. Sekian

*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 23 Mei  2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan