Khamis, 14 Februari 2013


بسم الله الرحمن الرحيم

*PERKARA BERHUBUNG DENGAN SUAMI BERLAFAZ CERAI

Kadang-kadang dalam hidup berumahtangga tidak dapat dinafikan berlakunya perselisihan faham antara suami dan isteri itu. Ini sesuai dengan ungkapan yang sering kita dengar “sedangkan lidah lagi tergigit apa pula suami isteri”. Jika suami atau isteri pandai mengawal pertengkaran maka ianya akan reda dan keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.

Tapi kadang-kadang sebaliknya berlaku keadaan semakin memburuk dan sehingga terjadi perkelahian yang sengit dan mengakibatkan suami terkeluar kata-kata atau ungkapan cerai semasa pertengkaran tersebut.

Maka dalam hal ini timbul keraguan suami atau isteri itu adakah telah sabit perceraian antara suami dan isteri itu ataupun sebaliknya?

Persoalan seperti ini sering berlaku dan memerlukan kepada kata putus mengenai kedudukan mereka adakah masih suami isteri atau sebaliknya.

Suami atau isteri apabila keadaan sudah reda baru timbul keraguan mengenai status rumahtangga mereka. Ada suami atau isteri hanya berpada dengan bertanya hukum kepada ustaz atau penceramah. Dan ada pula yang membiarkannya begitu sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya untuk mengetahui status perkahwinan mereka.

Jika merujuk peruntukan undang-undang Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 dalam bab 55 menyatakan:

Bab 55.(1)       Dengan tidak menghiraukan bab 54, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dalam apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dalam tempoh tujuh hari dari talak itu dilafazkan, melaporkan lafaz talak itu kepada Mahkamah.

(2)       Mahkamah hendaklah mengadakan perbicaraan untuk memastikan bahawa talak itu telah sah dilafazkan mengikut hukum syara’

Berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas menghendaki suami untuk melaporkan lafaz talak itu kepada Mahkamah bagi tujuan dibicarakan bagi memastikan samada talak yang dilafazkan suami itu sabit atau sebaliknya.

Perkara ini bukanlah boleh dianggap ringan kerana jika tidak dilaporkan boleh mengakibatkan berlakunya hubungan-hubungan yang dilarang jika talak tersebut benar-benar sabit berdasarkan hukum syara’.

Walaupun dalam undang-undang adalah jelas menyatakan kewajipan suami untuk melaporkan kepada Mahkamah ianya tidak menghalang seorang isteri untuk bertindak sedemikian bagi memastikan status rumah tangga mereka. Ini adalah kerana ada juga suami yang tidak bertindak melaporkannya kerana kejahilan ugama dan undang-undang. Dan kes isteri menuntut pengesahan talak di luar Mahkamah memang ada difailkan oleh pihak isteri bagi mengetahui status lafaz talak tersebut.

Jika dalam perbicaraan kes pengesahan lafaz talak di luar Mahkamah tersebut didengar dalam Mahkamah dan disabitkan gugur talak maka si suami akan dikenakan tindakan-tindakan berikut:

1-Boleh didakwa kerana melafazkan talak tanpa kebenaran Mahkamah dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali merujuk bab 124 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.

Bab 124 menyatakan :

Seseorang lelaki yang menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

2-Boleh didakwa kerana tidak membuat laporan dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali merujuk bab 125(1) Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.

Bab 125(1) menyatakan:

Seseorang berkewajipan untuk membuat suatu laporan di bawah Perintah ini dengan senghaja cuai atau tidak berbuat demikian, maka adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Maka berdasarkan undang-undang tersebut suami khususnya perlulah berhati-hati dalam tindak tanduk mereka agar tidak terlepas perkataan talak di luar Mahkamah yang mengakibatkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Peruntukan tersebut adalah bertujuan agar suami tidak bertindak sewenang-wenangnya menceraikan isterinya tanpa satu alasan yang munasabah. Peruntukan itu juga adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan seorang isteri agar terpelihara dan tidak sewenang-wenangnya diceraikan tanpa usul periksa. Kedua-dua perkara ini adalah juga untuk kepentingan bersama suami dan isteri agar ada peluang dicegah perceraian semasa fikiran mereka tidak tenang kerana pertengkaran atau perkelahian.

Kesimpulannya walaupun perceraian itu adalah diharuskan oleh syara; tetapi syara juga menjaga kepentingan umatnya agar mereka terpelihara dari perkara-perkara yang ditidak diingini. Sebaiknya jika suami isteri itu merasakan jalan penyelesaian rumahtangga mereka adalah dengan perceraian maka sebaiknyalah dibuat dengan secara baik. Pada lazimnya perkahwinan dibuat dengan secara baik dan penuh kekeluargaan maka dalam hal perceraian juga sebaiknya dibuat sedemikian agar perceraian itu benar-benar untuk menyelesaikan masalah bukannya menambahkan masalah selepas berlakunya perceraian. Perceraian yang diredhai adalah perceraian kerana atas dasar keimanan kepada Allah subhanahu wataala bukannya atas dasar hawa nafsu.

Maka sekali lagi diingatkan kepada para suami agar berhati-hati berlafaz perkataan cerai baik secara terang atau secara sindiran. Begitu juga para isteri hendaklah jangan menimbulkan perkara yang membawa suami terlepas perkataan cerai agar tidak menimbulkan penyesalan kemudian hari. Sekian.


*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 08 April  2009.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan