Sabtu, 9 Februari 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

*PERANAN PEGUAM SYARIE DI MAHKAMAH SYARIAH

Sepertimana yang penulis pernah sebutkan sebelum ini mengenai dengan proses mahkamah dan juga semua proses perbicaraan, kemungkinan kita boleh faham dan kemungkinan besar juga kita langsung tidak faham apa yang dikehendaki oleh undang-undang. Jika bertindak diluar apa yang dikehendaki oleh undang-undang sudah pasti pihak-pihak akan menghadapi kesukaran dan kemungkinan besar akan gagal dalam kesnya. Maka dalam yang demikian pihak-pihak perlu kepada seseorang yang boleh membantunya bertindak dengan betul sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang.  

Selain dari pihak-pihak perlu dibantu di dalam mengendalikan kes mereka, mahkamah adakalanya juga perlu dibantu untuk menegakkan keadilan. Ini adalah kerana kemungkinan ada perkara-perkara yang tidak jelas kepada mahkamah yang memerlukan kepada penjelasan yang terperinci agar mahkamah dapat menjalankan tanggugjawabnya menegakkan keadilan dengan sebaiknya.

Maka disinilah perlunya perana seorang peguam syarie untuk membantu pihak-pihak dan juga mahkamah agar proses mahkamah dipatuhi dan perjalanan perbicaraan lancar serta keadilan dapat ditegakkan untuk diberikan kepada yang berhak.

Peguam syarie adalah sebahagian daripada pegawai mahkamah yang juga memainkan peranan penting dalam mahkamah. Mereka hendaklah ingat akan tugas dan tanggungjawab mereka ialah membantu mahkamah untuk membuat keputusan yang betul dan adil. Kita boleh merujuk kepada beberapa contoh dari al-Quran dan hadis serta amalan sahabat berhubung dengan peranan dan tanggungjawab seorang peguam syarie itu.

Firman Allah subhanahu wataala dalam surah Yusof ayat 25 hingga 27 yang tafsirnya:

25.  Dan keduanya berkejar menuju pintu dan wanita itu menarik baju gamis Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. wanita itu berkata: "Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?"

26.  Yusuf berkata: "Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)", dan seorang  dari keluarga wanita itu memberikan pendapatnya: "Jika baju gamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta.

27.  Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, Maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar."

Apa yang dapat difahami dari kejadian yang berlaku ke atas Nabi Yusof alaihi salam itu ialah salah seorang dari ahli keluarga perempuan itu telahpun bertindak sebagai peguam dalam kes tersebut untuk membantu suami perempuan tersebut membuat keputusan yang adil. Dan apa yang telah diterangkannya itu telah diterima sebagai hujjah dan bukti yang kukuh dalam membuat keputusan dalam kes tersebut.

Dalam satu riwayat, pada suatu hari seorang perempuan telah datang mengadu kepada Khalifah Umar mengenai suaminya. Pada masa itu Ka’ab berada di sisi Sayyidina Umar. Perempuan tersebut berkata : Wahai Amir Mu’minin, aku tidak melihat lelaki yang lebih baik dari suamiku. Ianya berjaga sepanjang malam kerana beribadat, berpuasa sepanjang siang walaupun tatkala cuaca sangat panas dia tidak berbuka puasa. Mendengar demikian Kahlifah Umar bermohon keampunan kepada Allah bagi perempuan itu kerana dianggapnya bernasib baik mendapat suami baik seperti itu. Mendeengar kata-kata Kalifah tersebut perempuan tersebut malu dan terus beredar.

Melihat keadaan demikan Ka’ab yang berada di sisi Khalifah berkata : Sesungguhnya perempuan itu tadi membuat pengaduannya kepada Tuan tentang suaminya. Khalifah berkata : Benarkan demikan?. Ka’ab menjawab : Benar. Lalu perempuan itu dipanngil semula mengadap Khalifah dan Khalifah berkata : Sesungguhnya Ka’ab mengatakan kau tadi bertujuan untuk membuat pengaduan mengenai suamimu kerana ianya tidak tidur bersamamu? Perempuan itu berkata : Benar, sesungguhnya aku adalah seorang perempuan muda aku juga mempunyai keinginan seperti perempuan-perempuan lain.

Riwayat ini menunjukkan bahawa Ka’ab bin Sur telah membantu seorang perempuan di dalam kesnya yang didengar oleh Kahlifah Umar. Di dalam pembelaannya Ka’ab telah memberikan penerangan lanjut tentang kes yang dikemukakan oleh perempuan tersebut dan maksud yang kurang difahami oleh hakim yang mendengar kes tersebut.

Dalam riwayat lain, seorang perempuan yang menaruh perasaan terhadap seorang pemuda tetapi pemuda tersebut telah menolak keinginan perempuan tersebut lalu menimbulkan kemarahan dan sakit hatinya. Perempuan tersebut telah melakukan tipu daya dengan memecahkan telur dan membuang kuningnya dan cecair putih telur itu dicurahkannya di kainnya dan bakinya dilumurkannya di kedua pehanya. Perempuan itu lalu mendapatkan Khalifah Umar dengan mendakwa pemuda itu telah mencabul kehormatannya dengan bukti yang diperlihatkannya iaitu kesan air mani.

Khalifah Umar hampir-hampir mengenakan hukuman ke atas pemuda itu. Lalu pemuda itu meminta kebenaran kesnya itu.

Kahlifah Umar meminta pendapat Sayyidina Ali. Sayyidina Ali memerhatikan cecair yang ada pada kain itu dan meminta agar diberikan kepadanya air yang sangat panas. Setelah diberikan air yang panas itu lalu Sayyidina Ali mencurahkannya ke atas kain yang ada cecair yang didakwa air mani itu lalu cecair itu menjadi beku dan putih. Melihat demikian Sayyidina Ali mencium dan merasanya dan mendapati rasanya adalah sama seperti putih telur dan beliau yakin itu bukan air mani. Dan apabila disoal Sayyidina Ali akan perempuan itu perempuan itu mengakui.

Berdasarkan kes tersebut adalah jelas kepada kita bahawa Sayyidina Ali telah bertindak sebagai peguam bagi pemuda yang difitnah itu. Pendapat dari Sayyidina Ali ini telah membantu Khalifah menegakkan keadilan dan menghukum mereka yang berkenaan dengan seadilnya. Selain itu dari riwayat ini menunjukkan kepada kita salah satu kes telah dapat dibuktikan melalui ujian DNA yang boleh diterima sebagai keterangan di mahkamah untuk menguatkan sesuatu kes tersebut. Dan kemungkinan besar inilah ujian DNA yang pertama telah dijalankan untuk membuktikan sesuatu kes itu.

Berdasarkan semua kejadian yang disebutkan tadi adalah jelas bahawa peranan seorang peguam syarie itu adalah penting untuk membantu mahkamah menegakkan keadilan. Dalam proses perbicaraan yang ada pada masa sekarang peruntukan undang-undang sudah tersedia dengan lengkap. Semua peruntukan tersebut perlu dipatuhi agar perbicaraan berlaku dengan sempurna dan teratur. Jika ianya tidak mengikut apa yang telah ditetapkan oleh peruntukan undang-undang maka dikhuatiri akan menjejaskan keadilan pihak-pihak. Jika pihak-pihak di dalam Mahkamah melantik seorang peguam syarie bagi mewakili dirinya maka semua hak-hak mereka akan terjaga dengan baik dan semua prosedur yang dikehendaki akan dipatuhi. Akan tetapi jika pihak-pihak tidak diwakili oleh mana-mana peguam syarie dikhuatiri hak-hak mereka akan terlepas kerana mereka tidak tahu akan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pihak-pihak di dalam Mahkamah. Dan ini boleh menyulitkan banyak pihak dalam mahkamah dan perkara ini juga akan merugikan diri mereka sendiri.

Kebenaran untuk melantik peguam syarie ada disebutkan dalam peruntukan bab 27 Perintah Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 yang menyatakan :

27.       [1]       Ketua Hakim Syar’ie boleh, setelah bayaran yang ditetapkan dibayar, menerima orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syara’ dan sesuai untuk menjadi Peguam Syar’iemewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di hadapan mana-mana Mahkamah Syariah.

Dan apabila seseorang peguam syarie itu hendak dilantik oleh seseorang untuk mewakilinya dalam prosiding di mahkamah maka ianya perlu berlafaz wakalah perlantikan sepertimana yang dikehendaki oleh bab 35(1) Perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005.

35.       (1)       Perlantikan seseorang Peguam Syarie hendaklah dilafazkan oleh seorang yang melantiknya, dan diterima oleh Peguam Syarie yang dilantik sedemikian di hadapan Mahkamah atau Pendaftar.

Jika pihak-pihak dalam perbicaraan itu berhajat untuk menukar peguam syarie mereka, maka perkara ini adalah dibenarkan merujuk bab 37(1) Perintah yang sama :

37.       (1)       Mana-mana pihak yang ingin menukar Peguam Syarienya, hendaklah menfailkan notis penukaran dalam boring MS 6 dan menyampaikan suatu salinan notis itu kepada semua pihak dalam prosiding.

Dan jika pihak-pihak ingin melepaskan peguam syarie mereka adalah juga dibenarkan menurut bab 38 Perintah yang sama :

38.       Mana-mana pihak yang ingin melepaskan Peguam Syarienya, hendaklah menfailkan notis pelepasan dalam boring MS 7 dan menyampaikan suatu salinan notis itu kepada semua pihak dalam prosiding.

Dan jika peguam syarie sendiri meminta pelepasan dari mewakili pihak yang berwakil juga dibenarkan oleh bab 39 Perintah yang sama:

39.       Jika seorang Peguam Syarie yang mewakili satu pihak ingin dilepaskan, dia hendaklah memfailkan notis penarikan diri dalam boring MS 8 dan menyampaikan suatu salinan notis itu kepada semua pihak dalam prosiding.

Semua peruntukan mengenai perlantikan, pelepasan dan penarikan diri peguam syarie adalah jelas disebut dalam undang-undang yang mana ianya adalah bertujuan bagi memudahkan semua pihak untuk membuat semua bentuk urusan yang berkenaan.

Tidak semestinyalah semua kes itu perlu diwakili oleh peguam syarie, adakalanya kes-kes itu pihak-pihak boleh bertindak bersendirian iaitu bagi kes-kes yang mudah dan ada penyelesaian yang kedua pihak misalnya ada persetujuan bersama dan sebagainya.

Begitulah secara ringkasnya peranan dan tanggungjawab seorang peguam syarie yang sangat penting bagi membantu pihak-pihak dan juga mahkamah. Terpulang kepada pihak-pihak samada bertindak bersendirian atau bertindak dengan menggunakan peguam syarie kerana kedua-duanya dibenarkan oleh syara dan undang-undang. Sekian

 
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 11 Februari 2009.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan