بسم الله الرحمن الرحيم
*PROSES PERBICARAAN
Di Mahkamah Syariah satu-satu kes itu akan dikategorikan mengikut kategori yang ditetapkan. Kes-kes jenayah akan disebut sebagai kes jenayah manakala kes-kes yang bukan berbentuk jenayah seperti kes-kes perceraian, tuntutan, permohonan dan yang lainnya akan disebut sebagai kes mal.
Apabila satu-satu kes di bawa ke mahkamah samada kes-kes jenayah ataupun kes-kes mal kadang-kadang timbul pertanyaan mengapa perbicaraan bagi kes tersebut lambat. Mengapa tidak dibicarakan minggu depan atau secepat yang mungkin? Dan mengapa mengambil masa berbulan dan bertahun untuk dibicarakan dan diputuskan?
Bagi mereka yang tahu dan faham akan sistem keadilan, baik di Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah atau apa jua bentuk mahkamah yang diiktiraf persoalan-persoalan seperti ini tidak akan timbul dan dipersoalkan. Akan tetapi berbeza dengan orang awam pasti akan mempersoalkannya lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dengan kes.
Pihak-pihak yang berurusan dengan mahkamah tidaklah sama dengan mereka yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan atau swasta yang lainnya. Setiap bentuk urusan yang hendak dibuat adalah memerlukan kepatuhan terhadap kehendak undang-undang bagi setiap urusan tersebut.
Dalam kes-kes mal, undang-undang mengenai dengan prosedur acara mal telahpun digubal dan berkuatkuasa iaitu yang disebut sebagai Perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005. Peruntukan tersebut adalah menerangkan dengan jelas dan teratur mengenai dengan semua prosedur yang perlu dipatuhi bermula semasa kes difailkan dan sehingga selesai perbicaraan dan juga ke peringkat seterusnya.
Bilamana ketidakpatuhan terhadap semua atau sebahagian prosedur tersebut berlaku maka mahkamah boleh menolak apa-apa yang tidakkepatuhan itu. Ini jelas sepertimana yang disebut dalam bab 5 dalam Perintah Acara mal tersebut yang menyatakan:
5. Ketidakpatuhan terhadap mana-mana peruntukan Perintah ini tidak boleh membatalkan prosiding, mana-mana langkah yang diambil di dalam prosiding atau apa-apa dokumen, penghakiman atau perintah melainkan jika diperintahkan sedemikian, tetapi Mahkmaha boleh -
(a) atas kehendaknya : atau
(b) atas mana-mana permohonan mana-mana pihak,
mengenepikan keseluruhan atau sebahagian mana-mana prosiding itu di mana ketidakpatuhan berlaku, mana-mana langkah yang diambil dalam mana-mana peringkat prosiding atau apa-apa dokumen, penghakiman atau perintah, atau mengarahkan apa-apa pindaan atau membuat sebarang perintah yang dil.
Berdasarkan kepada peruntukan tersebut adalah jelas mengenai dengan perlunya prosedur dipatuhi sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Dan ketidakpatuhan hanya akan melambatkan satu-satu kes sehingga ianya telah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak-pihak..
Dalam kes-kes mal sebelum difailkan, ianya akan menjalani proses pendaftaran kes yang difailkan itu. Tidak semestinya apabila hadir pada hari tersebut kes tersebut boleh diterima oleh pendaftar mahkamah. Kadang-kadang penolakan berlaku bilamana terdapat kesalahan semasa proses pendaftaran kes tersebut seperti affidavit tidak sempurna, dokumen tidak lengkap, tuntutan tidak jelas dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini bukannya perkara kecil yang boleh diambil ringan. Kerana perkara seperti ini boleh jadi menjejaskan dan merugikan pihak yang menuntut itu sendiri. Maka proses pendaftaran ini tidak boleh diambil ringan oleh mana-mana pihak yang membuat tuntutan kepada mahkamah. Janganlah disalahkan mahkamah dengan tuduhan seperti banyak kerenah dan cerewet, kerana ianya adalah demi kepentingan pihak-pihak dalam kes tersebut. Perlu diingat sepertaimana yang dinyatakan tadi ketidakpatuhan terhadap peraturan dan kehendak undang-undang lazimnya akan membantutkan proses ke mahkamah.
Sebagai contoh jika seseorang itu membuat tuntutan perceraian di mahkamah antara dokumen yang penting disertakan dalam tuntutan ialah sijil nikah. Jika dokumen ini tidak disertakan maka sudah pasti jika ada pertikaian timbul, pembuktian wujudnya pernikahan itu perlu dibuat terlebih dahulu oleh pihak-pihak. Bila diragui wujud perkahwinan bagaimana akan berlaku perceraian.
Contoh lain jika seorang isteri menuntut cerai taklik kerana tidak diberi nafkah tetapi dalam affidavitnya menyatakan ianya dipukul dan langsung tidak menyentuh mengeni tidak diberi nafkah maka perkara ini sudah bercanggah dengan tuntutannya dan ini merugikan pihak yang menutut itu sendiri dan menguntungkan pihak yang kena tuntut.
Perkara-perkara seperti ini jangan diambil mudah kerana ianya sangat penting dan perlu dipatuhi agar tuntutan yang difailkan benar-benar sempurna dan tidak mengelirukan semua pihak dalam mahkamah.
Perkara yang telah dinyatakan tadi iaitu perlunya kepatuhan di peringkat pendaftaran kes, bukanlah satu perkara baru dalam satu-satu kes perbicaraan. Proses seperti ini juga berlaku di mahkamah sivil yang mana semua perkara ini mesti dipatuhi agar perbicaraan sempurna didengar. Sebagai orang awam perkara ini boleh dianggap memeningkan, memenatkan serta memakan masa yang lama bagi setiap satu proses tersebut perlu dilakukan. Tetapi itulah kehendak peraturan dan undang-undang agar perbicaraan berjalan lancar dan dapat diputuskan dengan seadil-adilnya.
Apabila selesaai proses pendaftaran kes, saman juga telah sempurna disampaikan maka proses selanjutnya ialah perbicaraan bagi kes tersebut. Perbicaraan yang diadakan di mahkamah tidaklah boleh disamakan dengan mana-mana acara seperti taklimat, perjumpaan, mesyuarat atau seperti hadir di mana-mana kaunter perkhidmatan. Ia juga bukan seperti untuk mendapatkan satu-satu permohonan ke jabatan-jabatan kerajaan atau ke syarikat-syarikat swasta. Bukan juga sepertimana orang ramai berurusan dengan pejabat pos untuk mendapatkan atau menyambung lesen memandu atau urusan sepertimana urusan surat menyurat.
Apabila satu-satu kes itu telah ditetapkan untuk pendengaran pada hari pertama maka ia disebut kes masih diperingkat pliding. Maka dalam peringkat ini akan merangkumi banyak peringkat seperti perlantikan atau wakalah melantik peguam, yang kena tuntut akan menfailkan pembelaan dan tuntutan balas jika ada, yang menuntut pula akan menfailkan jawapan kepada pembelaan dan akan membuat pembelaan terhadap tuntutan balas yang kena tuntut. Kemudian pihak kena tuntut akan menfailkan jawapan terhadap pembelaan dalam tuntutan balasnya. Apabila semuanya telah selesai maka pliding akan ditutup dan pihak yang menuntut akan menfailkan ikatan pliding. Semua perkara yang disebutkan itu tadi akan berlaku diperingkat pliding.
Dan apabila ikatan pliding telah sempurna difailkan maka barulah perbicaraan kes akan bermula yang mana proses bermula dengan yang menuntut akan memberi keterangan, memanggil saksi-saksi, mengemukakan bukti dan penggulungan hujjah diperingkat yang menuntut. Semua ini disebut dengan jelas sepertimana kehendak bab 129 Perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005:
129. (1) Tertakluk kepada ceraian (2) –
(a) plaintif hendaklah memulakan dengan membuka kesnya ;
(b) setaip pihak boleh, sebelum mengemukakan keterangan membuka kesnya.
(2) Hakim boleh memberi arahan kepada pihak yang akan memulakan kes dan susunan ucapan dalam perbicaraan
(3) Tertakluk kepada arahan Hakim di bawah ceraian (2) dan peruntukan-peruntukan bab ini pihak yang memulakan adalah berhak menggulung kesnya.
Dan apabila pihak yang menuntut selesai memberi keterangan dan menggulung hujjahnya maka pihak yang kena tuntut mempunyai dua pilihan iaitu sepertimana kehendak bab 129 (4) iaitu :
(4) Apabila plaintif telah mengemukakan semua keterangan bagi kesnya, Hakim hendaklah memanggil defendan untuk mengemukakan keterangan bagi menjawab tuntutan plaintif, dan dalam hal demikian, defendan diberi pilihan sama ada hendak mengemukakan keterangan atau menghujjahkan bahawa tiada kes untuk dijawab
Berdasarkan peruntukan tersebut yang kena tuntut boleh sama ada :
1-Berhujjah sahaja tiada kes untuk dijawab dan selepas itu pihak yang menuntut akan menggulung kes secara keseluruhannya dan mahkamah akan membuat penghakiman dan keputusan. Atau ;
2-Yang kena tuntut boleh mengemukakan keterangannya. Maka jika ini yang dipilih oleh yang kena tuntut maka prosesnya akan sama sepertimana yang menuntut mengemukakan keterangan iaitu dengan cara yang kena tuntut akan memberi keterangan, memanggil saksi-saksi, mengemukakan bukti dan akhir sekali membuat penggulungan hujjah.
Selepas yang kena tuntut menggulung hujjahnya maka yang menuntut akan menggulung hujjah keseluruhan kes dan selepas itu mahkamah akan membuat penghakiman dan keputusannya.
Semua proses dan prosedur yang dinyatakan dengan ringkas ini bukan dibuat dalam satu hari. Tetapi ianya akan memakan masa berhari-hari bahkan berbulan-bulan dan boleh juga memakan masa bertahun. Mengapa ini berlaku?. Ini adalah kerana setiap satu prosedur itu akan mengikut giliran masing-masing seperti kehendak undang-undang.
Tidak dinafikan ada kes yang didengar sehingga berbulan-bulan dan bahkan memakan masa sehingga bertahun. Ini adalah bukan berpunca dari pihak mahkamah akan tetapi berpunca dari berbagai perkara yang timbul seperti :
1-Pihak-pihak memohon penangguhan..
2-Kesulitan pihak-pihak memanggil saksi
3-Kesulitan pihak-pihak mengemukakan dokumen dari pihak-pihak berkenaan
3-Jadual mahkamah yang padat dengan kes-kes yang telah ditetapkan.
4-Jadual peguam juga penuh dengan kes-kes yang ditetapkan.
5-Pihak-pihak ada komitmen lain yang penting seperti terlibat dengan satu acara negara.
6- Penagguhan disebabkan sakit dan sebagainya.
Di atas hanyalah sebahagian sahaja sebab mengapa berlaku penagguhan satu-satu kes itu.
Dalam memberikan keterangan, pihak yang menuntut atau yang kena tuntut akan memberi keterangan dalam masa yang tertentu dan adakalanya memakan masa dua ketiga hari terpulang kepada soal utama, soal balas dan soal semula pihak-pihak. Begitu juga saksi-saksi yang dipanggil adakalanya memberi keterangan dalam tempoh yang lama juga merujuk kepada soal utama, soal balas dan soal semula pihak-pihak. Dan jika ini berlaku maka tempoh masa perbicaraana akan panjang.
Contoh secara ringkas perjalanan perbicaraan jika yang menuntut memanggil 3 orang saksi : :
Hari pertama yang menuntut memberi keterangan diperingkat soal utama .
Hari kedua yang menuntut memberi keterangan diperingkat soal balas
Hari ketiga yang menuntut memberi keterangan diperingkat soal semula
Hari keempat yang menuntut memanggil saksi diperingkat soal utama.
Hari kelima saksi memberi keterangan diperingkat soal balas
Hari ketujuh saksi memberi keterangan diperingkat soal semula.
Jumlah hari bagi yang menuntut dan saksi-saksinya memberi keterangan tertakluk kepada berapa banyak soalan yang dikemukakan kepada pihak yang dipanggil. Jika soalannya sedikit maka tempoh hari memberi keterangan akan pendek dan perbicaraan kes akan cepat selesai. Jika sebaliknya maka akan lamalah lagi tempoh dan hari perbicaraan. Dan semua itu tadi hanya diperingkat kes yang menuntut.
Jika yang kena tuntut pula memberi keteranagan maka prosesnya dan juga lamanya tempoh perbicaraan kemungkinan akan berlaku sama seperti di atas.
Selain itu, perlu juga diambil kira bilamana proses penggulungan hujjah maka pihak-pihak akan memohon satu tempoh sekurang-kurangnya dua minggu hingga ke sebulan bagi menyediakan hujjah dengan alasan tertentu. Kemudian lebih kurang tempoh dua minggu hingga ke sebulan pihak yang satu lagi akan memohon untuk menjawab hujjah pihak yang satu lagi. Maka selepas itu mahkamah akan meneliti kes tersebut yang mungkin sebulan tempohnya sebelum keputusan dibuat. Tempoh ini adalah bergantung kepada kes itu sendiri dari berat dan ringannya tuntutan yang dituntut. Tempoh ini lazimnya berdasarkan pertimbangan mahkamah dan mungkin dengan adanya persetujuan pihak-pihak.
Salah satu perkara yang mungkin manambah masa satu-satu kes itu ialah bilamana pihak-pihak bertindak bersendirian tidak diwakili oleh mana-mana peguam. Jika kehehendak undang-undang tidak dipatuhi maka sudah pasti akan berlaku penagguhan sehingga pihak-pihak mematuhi prosedur yang dikehendaki.
Jadi bagaimana sekarang?. Adakah mahkamah masih disalahkan jika berlakunya penagguhan kes yang lama dengan alasan yang munasabah?.
Dalam kes-kes jenayah pula akan melalui proses yang berbeza dengan kes-kes mal seperti pada hari pertama sebutan kes. Pada hari sebutan pertama kes jika tuduhan dibentangkan dan yang dituduh tidak mengaku salah maka perbicaraan penuh bagi kes tersebut akan ditetapkan yang bergantung kepada jadual Mahkamah dan pihak pendakwaraya.
Semasa perbicaraan penuh, pihak pendakwa akan memanggil saksi-saksinya untuk memberikan keterangan. Segala dokumen serta barang bukti akan dikemukakan. Jika berlaku bantahan terhadap dokumen atau barang bukti yang dikemukakan maka boleh berlaku apa yang disebut “bicara dalam bicara” yang memerlukan keputusan kepada “bicara dalam bicara” terlebih dahulu diputuskan sebelum perbicaraan induk disambung. Kemudian proses penghujjahan pihak-pihak dan kemudian jika di peringkat prima facie case yang dituduh akan membela diri dengan memberi keterangan dan memanggil saksi-saksinya sehinggalah ke peringkat akhir hujjah tertuduh dan hujjah balas pendakwa dan sehingga lepada keputusan dibuat oleh mahkamah.
Penagguhan juga ada kalanya berlaku dalam kes-kes jenayah yang hampir sama dengan sebab-sebab penagguhan tersebut sepertimana penangguhan yang timbal dalam kes-kes mal.
Inilah antara proses yang berlaku dalam perbicaraan di dalam mahkamah baik kes mal ataupun kes jenayah. Proses-proses yang disebutkan tadi jika hanya melalui teori sudah pasti tidak akan difahami kecuali praktikal dilakukan barulah akan dapat difahami kehendak dalam perbicaran itu.
Perkara-perkara yang tidak diketahui oleh orang awam seperti ini pada lazimnya akan mengakibatkan timbulnya tohmahan terhadap mahkamah. Penagguhan satu-satu kes itu dianggap satu kesalahan dan kelalaian atau kecuaian mahkamah dan akhirnya akan timbul ungkapan justice delayed atau justice denied.
Kadang-kadang dalam satu-satu kes itu mewajarkan penangguhan dan perkara itu adalah dibenarkan menurut undang-undang. Dan mahkamah bila melihat kewajaran penangguhan maka mahkamah perlu membenarkan penangguhan tersebut.
Apabila penangguhan dibenarkan oleh mahkamah atas permohonan satu pihak, kadang-kadang pihak yang satu lagi tidak berpuashati. Ini adalah kerana pihak tersebut hanya melihat keadilan dari sebelah pihak dirinya sahaja sedangkan mahkamah melihat keadilan bagi kedua pihak dan mahkamah tidak bersikap berpihak pada mana-mana pihak. Dan perlu diingat tujuan pihak-pihak ke mahkamah adalah untuk meminta kes mereka diputuskan dengan adil.
Maka kita sebagai orang awam janganlah kita berprasangka buruk terhadap mahkamah, kelambatan satu-satu kes itu diputuskan bukanlah kesalahan 100% terpikul kepada mahkamah. Ada alasan yang munasabah mengapa berlakunya kelambatan satu-satu kes itu. Dan jika kita mahu juga segera kes kita dapat diputuskan dalam masa yang singkat khususnya kes-kes mal maka jalan terbaik adalah dengan cara SULH. Kita akan bincang kemudian.....Sekian.
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 10 Januari 2009.