Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Kota Konstantinopel
http://mselim3.blogspot.com | 12 Ogos 2014.
Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Kota Konstantinopel
Hadis Nabi Saw direalisasikan hampir 600 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "Sebaik-baik raja" dan "Sebaik-baik tentera dalam hadis ini?
Sabdanya Rasullulah saw ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:
".... Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...."
(HRiwayat Imam Ahmad)
Umat islam telah berlumba-lumba berusaha membebaskan Konstantinopel seperti mana yang telah dijanjikan oleh Allah swt dalam hadis ini. Namun begitu semuanya menemui kegagalan, peperangan yang menemui kegagalan ialah lima peperangan di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu di zaman Kerajaan Abbasiyyah, dan dua di zaman Kerajaan di zaman Uthmaniyyah.
Biodata Ringkas
Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 M di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria). Sejarah hidup baginda telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut "Sebaik-baik raja" di dalam hadis. Baginda dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Baginda menaiki tahta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451-1481). Baginda merupakan seorang pemimpin dan panglima yang ulung yang memimpin sendiri 25 siri ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout tetapi ada juga yang berpendapat baginda mangkat kerana diracun.
Pendidikan
Sultan Muhammad Al-Fateh menerima pendidikan dalam bidang agama melalui gurunya, Syeikh Shamsuddin Al-Wali keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Dalam ilmu peperangan, baginda diajar teknik peperangan seperti strategik, memanah, dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera baginda.
Dalam bidang akademik pula, Sultan Muhammad Al-Fateh adalah seorang yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Latin, Bahasa Greek, Bahasa Serbia, Bahasa Turki, dan Bahasa Hebrew.
Dalam bidang ilmu pemerinahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh bersuluk ke Pulau Magnesia dan telah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh yang berusia 12 menjadi Khalifah dan pada usia semuda itu juga, baginda telah mahir tipu daya musuh.
Keperibadian
Sultan Muhammad Al-Fateh sentiasa bersifat tawaduk (merendah diri). Semasa membina Benteng Rumeli Hissari baginda membuka baju dan serban hanya semata-mata untuk mengangkat batu dan pasir tindakan Sultan Muhammad Al-Fateh ini menjadi ikutan ulama dan menteri untuk turut sama bekerja. Baginda seorang yang tenang, pendiam, berani, sabar, dan tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka perihal permasalahan negara.
Pada kali pertama solat jumaat hendak didirikan timbul masalah siapakah yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan semua tenteranya termasuk dirinya untuk berdiri lantas bertanya,"Siapakah diantara mereka sejak baligh sehingga kini pernah meninggalkan solat fardu walaupun sekali, sila duduk! Tiada seorang pun yang duduk kerana tiada seorang pun diantara mereka pernah meninggalkan solat fardu.
Baginda bertanya lagi,"Siapakah diantara mereka sejak baligh pernah meninggalkan solat rawatib, sila duduk! Sebahagian tenteranya duduk.
Kemudian, Sultan Muhammad Al-Fateh bertanya lagi,"Siapakah diantara kita diantara mereka sejak baligh pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam. Kali ini semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat rawatib dan solat tahajud sejak baligh. Baginda adalah sebaik-baik raja yang telah disyariatkan oleh Rasullulah saw dalam hadisnya.
Persiapan Awal membebaskan Konstantinopel
Selama 2 tahun selepas menaiki tahta Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji pelan Kota Konstantinopel bagi mengenalpasti titik kelemahan dan kekuatannya. Beliau mengkaji sebab-sebab kegagalan peperangan-peperangan yang terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima tentang strategi yang sesuai digunakan. Strategi yang dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi strategi daripada peperangan oleh Rasullulah saw dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini menjadi tempat rujukan yang paling disanjungi oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.
Meriah Muhammad Al-Fateh
Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan dibina peralatan meriah besar yang termoden yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina ditebing sebelah Eropah lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinopel di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildrim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memecilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.
Sultan Muhammad Al-Fateh membawa para ulama dan pakar motivasi ke medan perang yang bertujuan memberikan motivasi semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera islam bersolat dan melaungkan azan yang memecahkan kesunyian alam.
Tembok Kota Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Byzantine supaya menyerah diri. Keengganan Raja Byzantine menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung pada 19 April 1453 serangan dimulakan. Kota Konstantinopel dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya telah rosak tetapi tengahnya masih teguh. Tembok Kota Konstantinopel ini mempunyai tiga lapisan, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki
Menara Bergerak
Seterusnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantine telah memusnahkan menara bergerak ini setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Pope di Rom menghantar bantuan 5 armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthamiyyah (tentera islam). Ini menaikkan semula semangat tentera Byzantine. Kegembiraan mereka tidak lama.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Keesokkannya mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmiyyah di Teluk Perairan Golden Horn. Ini adalah kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui antara peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan barat sendiri. Kapal-kapal ini membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar terkenal bedilan meriam Uthmaniyyah.
Pertahanan Byzantine semakin lemah. Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan tentang hadis Rasullulah saw dan berdoa kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokkan paginya tentera islam telah memanjat tembok dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit oleh tentera Byzantine menyebabkan ramai tentera islam yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur tetapi bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh. Pada saat, yang genting itu baginda berucap untuk menaikkan semangat tenteranya "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".
Mendengar itu, Hasan Ulubate salah seorang tentera baginda yang mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh sambil mencacak bendera islam disitu. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani dengan anak panah musuh. Kemudian, tentera islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantine sambil melaungkan kalimah "Allahu Akbar".
Penawanan Kota Konstantinopel
Pada 29 Mei 1453 Kota Konstantinopel jatuh ke tangan islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (islam keseluruhannya) dan kemudian akhirnya di tukar nama Istanbul. Gereja Besar St.Sophie ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Sultan Muhammad Al-Fateh dengan tawaduk melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah baginda diberikan gelaran "Al-Fateh" yang bermaksud pembuka atau penakluk lantaran kejayaannya membebaskan Kota Konstantinopel.
Hari ini kita ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan tamadun dan kegemilangan islam kembali. Marilah kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk kota hebat seperti Kota Konstantinopel ini.
Sekian....
#copy & paste
Perjalanan ini........
Rabu, 13 Ogos 2014
Selasa, 6 Mei 2014
Petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 05 Mei 2014
"Perkara ini nampak ialah ketika pemberigaan berlaku. Perkara-perkara tidak disebut oleh akta tetapi ianya timbul sampai melarat-larat. Contohnya tentang pakaian. Mcm-mcm perkara yang timbul mengenai orang menutup aurat dan tidak menutup aurat. Dan mcm-mcm lagi. Padahal dalam akta tidak ada menyebut tentang pakaian. Yang disebut ialah perbuatan tidak sopan."
"Mengapa dibiarkan orang meracau-racau tentang pakaian. Mengapa dilayan orang membahaskan pakaian sehingga keluar tajuk. Apa perlunya ditimbulkan hukum pakaian disini dan apa relevannya pemberigaan menyebut menutup aurat belum diwajibkan. Mengapa ia pula yang timbul. Tidakkah lebih wajar kalau diterangkan bahawa soal pakaian itu akan dinilai dibawah perbuatan tidak sopan. Bukan ia dijawap dengan memberi hukum tutup aurat atau tidak tutup aurat. Bukankah lebih baik jika pihak pemberigaan memberikan gambaran dengan satu perbandingan, seseorang merayau-rayau di tengah Bandar dengan memakai seluar katak dan seorang lagi memakai baju kurung tanpa tudung kepala. Diantara kedua keadaan ini, manakah yang layak dianggap sebagai tidak sopan. Barangkali dengan jawapan cara ini orang boleh faham dan tidak akan mengungkit-ungkit lagi perkara pakaian ini."
"Perkara lain, media telah menyiarkan bahawa Kerajaan Brunei telah mengharamkan orang-orang bukan Islam dari menggunakan 19 perkataan. Masjid, azan, Baitullah, al-quraan, fatwa, firman, hadis, haji, hukum, syarak, Ilahi, Kaabah, kalimah syahadah, kiblat, imam, mufti, mukmin, solat dan wali. Hukunan jika sabit kesalahan terhadap perkara-perkara ini akan didenda sehingga 4 ribu atau satu tahun penjara. Kita hendak tahu adakah ini betul. Adakah betul menjadi kesalahan orang bukan Islam menyebut masjid, azan, fatwa, mufti, imam, kiblat, kaabah. Salahkah orang-orang bukan Islam berkata, saya hendak melawat masjid Omar Ali atau saya hendak berjumpa mufti. Salah kah ini? Jika mengikut siaran media tadi memang salah, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda atau penjara. Diminta Menteri Ugama nanti menjelaskan."
"Jika sekiranya apa yang disiarkan media itu betul, mana pembetulannya dari pihak kita, mana Kementerian Ugama, mana Majlis Ugama Islam, mana Unit Perundangan Islam dan mana Jawatankuasa Pemberigaan. Kalau kita kata siaran media salah, apa yang betulnya. Mesti diberitahu yang betul itu. Supaya tidak menjadi kekeliruan."
"Orang jika keliru boleh menyebabkan bermacam-macam tindak balas, seperti marah atau tidak puas hati atau takut atau benci. Adakah ini akan dibiarkan begitu saja tanpa ditangani. Kita sepatutnya bertindak cepat. Apa yang salah mesti dibetulkan. Banyak cara untuk membetulkan ini. Seperti membuat kenyataan dalam media sendiri. Dan juga melalui siaran-siaran radio dan televisin. Terangkan dengan sebaik-baiknya sehingga orang faham. Bukan menjawap dengan menunggu majlis beriga diadakan. Kalau dua minggu lagi majlis beriga akan di adakan, kita mesti menunggu jua dua minggu, itu tidak betul. Malah tidak memadai jawapan yang diberikan hanya dalam majlis beriga. Kerana beberapa orang sahaja yang ada didalam majlis beriga itu."
"Jadi yang betulnya ada sahaja kesilapan atau kekurangan atau kekeliruan yang ditonjolkan oleh media. Pihak berkenaan kita mestilah cepat-cepat meresponnya. Dan utk itu kita sepatutnya mesti ada pasukan pemantau. Duduki dan bincangkan mana-mana hasil pemantauan itu. Jangan dimalamkan lama-lama. Ini kita tidak, dibiarkan lama laboi-laboi, kalau ada jawapan pun seperti melepas batuk ditangga sahaja."
"Mana penampilan media elektronik, radio dan televisyen. Jangan alang-alang kalau media menyiarkan salah, tunjukkan yang betul dan jika perlu perlekehkan media yang selalu membuat salah itu, baru mereka lain kali akan lebih berhati-hati. Ini peranan psikologi perlu turut dimainkan."
Pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Alhamdulillah. Pada 01 Mei 2014 adalah tarikh bermulanya kuatkuasa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 yang lalu.
Semoga dengan terlaksananya undang-undang ini mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Taala akan merahmati negara Brunei Darussalam. Amin
KIta sebagai umat Islam semestinya berdiri teguh di belakang pemimpin yang mempunyai pendirian yang tegas terhadap perintah Allah. Janganlah kita menjadi perosak atau pengacau yang membawa kekeliruan yang akhirnya merosakkan dan menyesatkan orang lain. Janganlah kita mereka sebarang persoalan yang menjadikan orang keliru atau bertambah keliru. Lebih baik diserahkan kepada orang yang arif mengenainya atau lebih baik diam.
Alhamdulillah. Pada 01 Mei 2014 adalah tarikh bermulanya kuatkuasa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 yang lalu.
Semoga dengan terlaksananya undang-undang ini mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Taala akan merahmati negara Brunei Darussalam. Amin
KIta sebagai umat Islam semestinya berdiri teguh di belakang pemimpin yang mempunyai pendirian yang tegas terhadap perintah Allah. Janganlah kita menjadi perosak atau pengacau yang membawa kekeliruan yang akhirnya merosakkan dan menyesatkan orang lain. Janganlah kita mereka sebarang persoalan yang menjadikan orang keliru atau bertambah keliru. Lebih baik diserahkan kepada orang yang arif mengenainya atau lebih baik diam.
Rabu, 14 Ogos 2013
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saya dengan rasa rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin. Semoga Hari Raya ini membawa penuh berkat dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Amin Mohon maaf blogs ini lambat di up date kerana kesibukan kerja. Insya Allah blog ini akan di update dari masa ke semasa dengan tulisan-tulisan untuk tatapan bersama.
Selasa, 19 Februari 2013
بسم الله الرحمن الرحيم
*BERPOLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH
Sebelum ini penulis telah membincangkan mengenai dengan berpoligami menurut kontek hukum syara dan undang-undang. Dengan adanya peraturan dan undang-undang mengenai dengan berpoligami maka banyak pihak berpendapat khususnya warga lelaki yang menganggap ianya adalah menyekat hak mereka berdasarkan hukum Islam. Maka dengan alasan itu ada yang berani dan sanggup bernikah di luar negara tanpa kebenaran Mahkamah.
Persoalannya adakah pernikahan mereka itu sah menurut hukum syara’ dan diiktiraf oleh undang-undang negara Brunei Darussalam?
Adakah terdapat tindakan-tindakan tertentu bagi menghukum pelanggar peraturan tersebut?
Bagi menjawabnya, memang tidak dapat dinafikan adanya trend sedemikian kerana hanya untuk melepaskan diri dari peraturan dan undang-undang. Adapun tujuan sesuatu peraturan dan undang-undang itu digubal adalah bertujuan untuk kebaikan dan menjaga hak semua pihak semata-mata. Tujuan kebaikan tersebut mungkin tidak terbayang pada hari ini tetapi akan nampak apabila timbul sesuatu keadaan pada masa akan datang.
Mereka yang bernikah tanpa kebenaran di luar negara dan dalam masa yang sama sudah mempunyai isteri yang sah di negara ini tidak akan terlepas dari pengenaan hukuman. Seseorang yang bernikah tanpa kebenaran lazimnya apabila balik ke negara ini akan merasakan sudah cukup bagi mereka dengan pernikahan tersebut tanpa apa-apa tindakan lanjut seperti mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, Pembubaran, Perceraian dan Rujuk Orang-Orang Islam. Mereka berdiam diri sahaja tanpa hiraukan kehendak undang-undang yang menghendaki mereka untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut seperti kehendak bab 29 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.
29. [1] Setiap warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah sah berkahwin di luar negara mengikut Hukum Syara’, hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Negara Brunei Darussalam dengan cara kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Negara Brunei Darussalam -
Pada lazimnya mereka yang berkenaan akan mendaftarkan pernikahan mereka bila sudah diserbu oleh penguatkuasa Agama kerana didapati bersekedudukan tanpa nikah yang sah dan sijil nikah mereka diragui. Kerana takut didakwa kesalahan khalwat atau kerana melakukan persetubuhan haram barulah sibuk untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
bab 29 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999.
29. [1] Setiap warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah sah berkahwin di luar negara mengikut Hukum Syara’, hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Negara Brunei Darussalam dengan cara kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Negara Brunei Darussalam -
Pihak-pihak yang melakukan pernikahan di luar negara tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan jika berhajat untuk mendaftarkan perkahwinan mereka, perkahwinan tersebut hanya boleh didaftarkan atas perintah mahkamah setelah adanya pengesahan pernikahan tersebut.
Maka pihak-pihak tersebut perlulah membuat permohonan kepada Mahkamah untuk pengesahan pernikahan tersebut dan perlu melalui proses perbicaraan.
Jika pernikahan mereka disahkan maka barulah boleh didaftarkan akan tetapi itupun tertakluk kepada bab 38(2) dan bab 123 merujuk bab 23 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 yang mengenakan hukuman-hukuman seperti berikut:
38. (2) Seseorang yang berkahwin atau dikatakan berkahwin atau menjalani sesuatu upacara akad nikah dengan sesiapa juga bertentangan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.
123. Seseorang lelaki yang berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahuludaripada Hakim Syarie adalah melakukan suatu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.
Setelah dikenakan hukuman denda tersebut barulah pernikahan tersebut boleh didaftarkan.
Berdasarkan kepada peruntukan yang disebutkan tadi dapat dihuraikan bahawa, jika seseorang itu bernikah di luar negara tanpa kebenaran dan pernikahan itu pula adalah pernikahan poligami juga tanpa kebenaran serta gagal melaporkan pernikahan itu maka hukuman-hukuman yang dinayatakan tadi akan menanti iaitu:
1-Bagi kesalahan bernikah diluar negara tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali
2-Bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali
3-Bagi kesalahan gagal mendaftarkan perkahwinan di hadapan Pendaftar Perkahwinan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali
Itulah sebahagian hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tadi. Namur perlu diingat adanya kemungkinan-kemungkinan seperti pihak isteri akan mengambil tindakan yang sesuai bagi pendapat mereka terhadap suami mereka berdasarkan menuntut hak seperti menuntut suami hidup bersama bab 127, menganyiaya isteri bab 128, tidak memberi keadilan bab 129 dan sebagainya yang mana setiap satu kesalahan bagi perkara-perkara tadi jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duannya sekali.
Maka berdasarkan kepada apa yang penulis utarakan tersebut mengenai dengan kesulitan-kesulitan yang akan dihadapi oleh pihak-pihak yang melakukan kesalahan bernikah dan berpoligami tanpa kebenaran bolehlah mengambil iktibar darinya supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang negara agar tidak dikenakan tindakan-tindakan yang jelas merugikan mereka. Fikirkanlah dahulu sebelum bertindak terburu-buru agar tidak menyesal kemudian hari.
Sebagai peringatan juga pihak perempuan yang dikahwini tanpa kebenaran perlu juga tahu bahawa pernikahanan di luar negara tanpa kebenaran akan menjejaskan banyak hak-hak mereka seperti menuntut nafkah isteri, anak-anak, hak berpoligami bahkan sering kedengaran kesukaran menuntut cerai dari suami kerana di gantung tidak bertali, tidak ada hak taklik sepertimana pernikahan yang berlangsung di negara ini. Semua perkara ini patut diambil perhatian semua pihak agar tidak timbal penyesalan di kemudian hari nanti. Sekian
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei"
Isnin, 18 Februari 2013
بسم الله الرحمن الرحيم
*PERKARA BERHUBUNG DENGAN POLIGAMI
“Mahkamah dapati awak adalah tidak layak untuk berpoligami dari itu permohonan awak untuk berkahwin lagi adalah ditolak dan tidak dibenarkan!”.
Itulah antara kalimat yang akan keluar dari Hakim Syarie semasa membuat keputusan permohonan berpoligami seorang pemohon yang ditolak oleh Mahkamah. Si Pemohon sudah pasti terkedu dan tersandar di kursi Mahkamah selepas keputusan itu diberikan. Apa agaknya yang bermain difikirannya pada masa itu ?
Persoalannya, mengapa permohonan tersebut ditolak oleh Mahkamah sedangkan Islam mengharuskan untuk berpoligami?
Poligami adalah satu perkara yang memang diharuskan oleh syara’. Dan perkara tersebut memang tidak perlu lagi dihujjahkan akan kesahihannya. Dan kita jangan seperti sesetengah orang di sesebuah negara yang mahukan satu peruntukan undang-undang supaya berpoligami itu diharamkan.
Jangan pula kita cuba jadi hero untuk memperjuangkan sesuatu yang sudah diharuskan syara’. Yang mana perkara tersebut menampakkan kejahilan tentang hukum-hakam syara’ dan yang paling dikhuatiri perkara ini boleh jadi akan menjejaskan keimanan kita sebagai seorang muslim. Isu yang perlu diperjuangkan ialah hak pihak-pihak dalam berpoligami tersebut.
Jika merujuk kepada peruntukan undang-undang mengenai berpoligami ada dinyatakan dalam bab 23 dari Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam), 1999 yang menyatakan:
(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan lain di mana-mana tempat juapun dalam masa ia masih beristerikan isteri yang sedia ada kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran dalam borang yang ditetapkan daripada Hakim Syarie dan jika ia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut maka perkahwinan itu hanya boleh didaftarkan di bawah Perintah ini tertakluk kepada bab 123, setelah mengisikan borang yang ditetapkan mengenainya.
(2) Permohonan untuk kebenaran dalam ceraian (1) hendaklah dikemukakan kepada Hakim Syar’ie mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertakan dengan suatu akuan bertulis yang menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir kometmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang dapat ditentukan, bilangan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu dan sama ada izin atau pandangan isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwianan yang dicadangkan itu.”.
(3) Apabila menerima permohonan itu, Hakim Syarie hendaklah mendengarnya dan setelah bayaran yang ditetapkan dibayar, Hakim Syarie boleh memberikan kebenaran dalam borang yang ditetapkan setelah berpuashati akan kesahihannya dan ianya patut untuk dibenarkan mengikut hukum Syarak.
Berdasarkan kepada peruntukan tersebut di atas, pada pendapat penulis Mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan satu-satu permohonan berpoligami tersebut kecuali setetelah Mahkamah benar-benar berpuashati bahawa pemohon tersebut adalah telah benar-benar mengikuti garis pandu hukum syara dan undang-undang. Tujuan perkara tersebut diambil kira oleh Mahkamah ialah untuk menjaga kepentingan banyak pihak yang di antaranya ialah isteri yang sedia ada, anak-anak, tanggungan, bakal isteri dan sebagainya. Semua perkara ini perlu diambil kira oleh Mahkamah dengan teliti agar hak-hak mereka terpelihara dan dijaga agar tidak timbul kesulitan dan sebagainya kepada mereka kemudian hari.
Ada terdapat beberapa contoh kes yang mana permohonan berpoligami tersebut patut dan wajar ditolak oleh Mahkamah antaranya ialah :
Contoh kes pertama: Alasan pemohon untuk berpoligami untuk mengelak diri dari melakukan maksiat. Dengan alasan ini mereka berpendapat permohonan mereka boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah. Tetapi setelah diperiksa oleh pihak-pihak didapati alasan tersebut adalah tidak patut dan tidak membawa kepada perlu pemohon untuk berpoligami. Alasan seperti ini lazim dipersoal oleh pihak responden iaitu isteri yang sedia ada kerana alasan ini boleh dielakkan oleh pemohon dengan menghindari perbuatan maksiat tersebut dan jika dihindari maka tidak ada alasan untuk berpoligami.
Contoh kes kedua: Pemohon memberi alasan responden iaitu isterinya yang sedia ada tidak melayan kehendak batin pemohon. Alasan ini turut dipertikai responden kerana pemohon sendiri tidak pernah meminta dari responden perkara tersebut.
Contoh kes ketiga : Pemohon memberi alasan ada kemampuan zahir dan batin. Dalam borang permohonan, pemohon menyatakan ada kemampuan kewangan yang banyak dari segi pendapatan pada setiap bulan yang boleh dianggap mampu untuk berpoligami. Akan tetapi apabila pemeriksaan dibuat oleh pihak-pihak dalam perbicaraan, responden akan mengemukakan tanggungan-tanggungan kewangan yang berat seperti hutang-hutang kepada pihak kerajaan, bank, pembiayaan anak belajar d luar negeri, letrik, air dan yang lainnya yang mencecah melebihi pendapatannya pemohon.
Dalam contoh ketiga-tiga kes ini penulis rasa pembaca boleh mengagakkan keputusan Mahkamah samada membenarkan atau sebaliknya.
Maka bertolak dari sini, adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk membuktikan dan meyakinkan kepada Mahkamah agar alasan yang diberikannya bagi permohonan berpoligami tersebut dan semua apa yang ada dalam kehendak hukum syara dan undang-undang bab 23 tersebut dipatuhi sebelum ianya boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah.
Dan adalah juga menjadi tanggujawab responden iaitu isteri yang sedia ada untuk mengemukakan kepada Mahkamah bukti-bukti bahawa pemohon adalah tidak layak untuk berpoligami. Responden juga pada dasarnya adalah bertanggungjawab kepada Mahkamah untuk membantu Mahkamah sebelum satu-satu permohonan itu dibenarkan.
Pihak isteri jangan sampai tidak mahu menghadirkan diri semasa perbicaraan kes. Dan janganlah beranggapan jika tidak hadir semasa perbicaraan, kes tidak akan dapat berjalan. Pendapat ini adalah salah dan tidak betul. Dan ini adalah amat merugikan pihak isteri sendiri kerana jika saman sempurna diterima dan gagal menghadirkan diri semasa perbicaraan maka perbicaraan itu boleh didengar dan diputuskan tanpa kehadiran pihak isteri. Ini merujuk peruntukan bab 124(1)(b) dari perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005 yang menyatakan :
124. (1) (b) jika defendan tidak hadir, tertakluk kepada pembuktian formal penyampaian saman, membicarakan dan memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya ;
Peruntukan tersebut adalah jelas menyatakan kegagalan isteri hadir semasa perbicaraan sedangkan ianya telah menerima saman dengan sempurna maka Mahkamah akan mendengar dan akan memutuskan kes tersebut tanpa kehadiran si isteri. Dan jika ini tindakan si isteri maka ianya jelas merugikan diri sendiri.
Kepatuhan semua kehendak di dalam bab 23 dari Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga), 1999 adalah adalah perlu dalam Mahkamah menimbangkan satu-satu permohonan berpoligami itu. Jika mana-mana kehendak peruntukan tersebut tidak dipatuh,i kemungkinan permohonan untuk berpoligami itu ditolak oleh Mahkamah. Pembuktian dalam tuntutan berpoligami itu adalah menjadi tanggungjawab pemohon. Dan adalah menjadi tanggungjawab responden (isteri) untuk membuktikan sebaliknya iaitu ketidak mampuan suaminya semasa dalam perbicaraan. Kedua-dua keterangan kedua pihak ini akan ditimbang oleh Mahkamah samada membenarkan permohonan pemohon atau sebaliknya.. Sekian
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 25 April 2009.
بسم الله الرحمن الرحيم
PERKARA BERHUBUNG DENGAN TAKLIK TALAK
Di Negara Brunei Darussalam adalah satu kemestian apabila selesai seorang lelaki berlafaz ijab kabul pernikahan akan dikehendaki untuk berlafaz taklik perceraian.
Jika seorang suami tidak memberi wang kepada isterinya melebihi tempoh empat bulan adakah boleh disabitkan talak sesuai dengan lafaz taklik semasa pernikahan itu ?
Jika seorang suami memukul isterinya kerana isterinya tidak mahu menutup aurat adakah si isteri boleh menuntut cerai taklik kerana dipukul?
Persoalan-persoalan seperti di atas sering ditimbulkan dan menjadi persoalan adakah boleh disabitkan talak dengan lafaz taklik itu semata-mata. Adakah jika si suami tidak memberi wang tetapi memberi perbelanjaan lain dengan membeli barang keperluan harian untuk si isteri boleh dikatakan si suami tidak memberi nafkah?
Adakah si suami tidak boleh langsung memukul isterinya? Bagimanakah pukulan yang dibenarkan dan bila?
Semua persoalan-persoalan tadi adalah memerlukan kepada penghuraian yang panjang. Tetapi dalam konteks pensabitan cerai melalui lafaz taklik yang dibuat si suami semasa pernikahan adalah satu perkara yang bukan mudah dibuktikan dengan hanya dakwaan semata-mata. Pihak yang mendakwa adalah mempunyai tanggungjawab yang besar di dalam Mahkamah semasa kes didengar untik membuktikan kes mereka.
Di negara ini lafaz taklik yang digunapakai semasa selepas suami berlafaz nikah adalah seperti berikut:
“Adalah ……………………….. isteri saya itu manakala saya tinggalkan ia empat bulan atau lebih dengan tidak saya atau wakil saya memberi nafkah kepada isteri saya atau wakil isteri saya yang tersebut dan ianya mengadu kepada Hakim Syarie meminta cerai setelah bersumpah atas tiada dapat nafkah yang tersebut dan bersumpah atas ia tiada nusyuz (derhaka) nescaya tertalak ia satu talak, atau jika saya ghaib atau dighaibkan dengan apa cara juapun daripada isteri saya selama enam bulan atau lebih jika ia mengadu kepada kadi dengan berkata ia tiada tertunggu lagi akan saya dan manakala sabit aduannya nescaya tertalak ia satu talak atau jika saya pukul isteri saya dengan pukulan yang menyakiti dan tiada patut kemudian ia mengadukan halnya itu kepada kadi dan meminta bercerai maka manakala sabit aduannya itu nescaya tertalak ia satu talak. Demikianlah lafaz taklik saya”.
Dengan adanya suami berlafaz taklik tersebut ianya mengikat suami dengan lafaz tersebut. Jika ada perkara-perkara yang dilakukan oleh si suami sesuai dengan apa yang dilafazkan maka berkemungkinan akan sabit perceraian.
Akan tetapi adakah sabit perceraian hanya dengan semata-mata suami tidak memberi nafkah sahaja? Ataupun dalam taklik pukul semata-mata kerana dipukul oleh suami boleh disabitkan talak?
Peruntukan undang-undang bab 45 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga islam),1999 ada menyatakan:
45(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat Sijil Takliq yang dibuat selepas akad nikah, memohon kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan untuk mensabitkan bahawa perceraian demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah sebelum mensabitkan perceraian tersebut hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syara’ Mahkamah hendaklah mensabitkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
Berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas bahawa setiap permohonan untuk pensabitan cerai secara taklik adalah perlu kepada proses perbicaraan Mahkamah untuk menentukan samada boleh disabitkan atau sebaliknya.
Dan dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab pihak yang mendakwa iaitu lazimnya isteri untuk membuktikan kesnya. Tanggungjawab si isteri juga adalah untuk membuktikan semua eleman atau syarat dalam taklik itu dibuktikan kepada Mahkamah. Jika kes dalam perbicaraan si isteri gagal membuktikan dakwaanya atau gagal membuktikan kewujudan eleman atau syarat dalam lafaz taklik tersebut maka kes tersebut boleh ditolak dan digugurkan oleh Mahkamah.
Sebagai satu contoh mudah di dalam tuntutan cerai taklik ialah seperti suami berlafaz seperti ” Jika kau keluar dari pintu hadapan rumah ini maka jatuhlah talak satu”. Berdasarkan contoh lafaz tersebut perkara utama yang perlu dibuktikan ialah kewujudan lafaz taklik itu sendiri. Jika kewujudannya memang telah terbukti maka perkara selanjutnya ialah membuktikan eleman yang terdapat dalam lafaz tersebut telah berlaku. Dalam lafaz contoh itu tadi menyatakan jika ”kau (isteri) keluar dari pintu hadapan rumah”, maka eleman utama ialah si isteri telah keluar dari pintu hadapan rumah. Jika ini berlaku maka kemungkinan lafaz taklik itu akan sabit jatuh talak satu. Akan tetapi jika ini tidak dilakukan oleh isteri yang mana si isteri tidak keluar dari pintu hadapan rumah dan ianya keluar melalui pintu-pintu lain maka perkara ini tidak akan mensabitkan talak.
Contoh mudah lain ialah seperti si suami berkata ”jika kau minum kopi maka jatuh talak”. Maka dalam hal ini jika si isteri meminum teh atau manisan maka tidak akan jatuh talak. Tetapi jika si isteri meminum kopi maka sudah pasti akan jatuh talak.
Kedua-dua contoh mudah yang diutarakan itu tadi adalah sebagai gambaran kepada lafaz taklik yang dibuat oleh suami semasa selepas pernikahan. Jika apa yang dilafazkan oleh suami itu berlaku mengikut semua elemen yang ada dalam lafaz taklik maka kemungkinan akan jatuh talak. Tetapi sebaliknya jika tidak berlaku maka talak tidak akan jatuh. Dan untuk membuktikan semua elemen itu telah berlaku sesuai dengan lafaz taklik maka itu adalah tanggungjawab si isteri selaku pihak Plaintif untuk membuktikan semua elemen itu wujud di hadapan Mahkamah. Jika Plaintif gagal membuktikannya maka kemungkinan kes si isteri itu ditolak oleh Mahkamah.
Tapi apa yang sering berlaku ialah jika kes-kes yang tidak diwakili oleh Peguam Syarie maka si isteri akan gagal untuk membuktikan kesnya di Mahkamah. Si isteri sering gagal memberikan keterangan, gagal membawa saksi, gagal mengemukkan sebarang dokumen atau bukti bagi kesnya.
Dalam kes-kes seperti ini sering timbul tuduhan kepada Mahkamah berlaku tidak adil terhadap si isteri yang teraniya oleh si suami. Dalam perbicaran, Mahkamah adalah sebagai orang tengah yang mendengar pertikaian kedua pihak. Demi prinsip keadilan Mahkamah tidak masuk campur untuk membuktikan kes si isteri sebagai pihak yang menuntut atau Plaintif kerana perkara tersebut adalah tanggungjawab si isteri. Dan jika Mahkamah bertindak membantu si isteri dalam kesnya maka di sini wujud ketidakadilan terhadap si suami dan perkara inilah yang hendak dielakkan oleh Mahkamah. Dari itu pihak-pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam satu-satu kes tersebut. Dan jika pihak-pihak tidak mengetahui peranan dan tanggungjawabn masing-masing dalam Mahkamah maka adalah lebih baik pihak-pihak tersebut menggunakan pihak peguam mewakili mereka. Perkara ini sangat penting untuk menjaga hak individu itu sendiri.
Maka dalam perkara taklik ini pihak-pihak suami dan isteri itu perlulah berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang berbaur talak yang tergantung kepada sesuatu. Kerana lafaz taklik itu boleh sahaja akan menjatuhkan talak jika ianya dilakukan sesuai dengan lafaz taklik itu. Begitu juga dengan lafaz taklik yang dilafazkan semasa selepas pernikahan hendaklah si suami khususnya perlu melakasanakan tanggungjawab apa yang sepatutnya dilakukannya terhadap isteri sesuai dengan kehendak ugama Islam. Sekian
*Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 15 April 2009.
Langgan:
Catatan (Atom)