Isnin, 28 Januari 2013

بسم الله الرحمن الرحيم

*100 TAHUN MAHKAMAH-MAHKAMAH SYARIAH
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Latar Belakang

Institusi kehakiman memainkan peranan yang sangat penting di dalam sesebuah bangsa atau negara. Tanpa institusi kehakiman maka sesebuah negara itu akan pincang dan tidak boleh bergerak kerana keamanan tidak ujud dan kezaliman akan berlaku dengan berleluasa. Maka dengan adanya institusi kehakiman maka keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman akan dapat dihapuskan. Kehidupan manusia akan aman dan tenteram serta terjamin keselamatan mereka.

Jika sesebuah negara itu membuka peluang pelaburan kepada pelabur asing dalam negara, maka salah satu perkara yang dilihat oleh para pelabur itu ialah sistem kehakimannya. Jika sistem kehakimannya baik dan menjamin keadilan, maka para pelabur akan berani membuat pelaburan mereka kerana adanya jaminan keadilan. Jika sebaliknya maka pelabur akan mencari negara yang akan menjamin para pelabur dan pelaburan mereka. Maka di sini menunjukkan bahawa sistem keadilan itu perlu wujud  agar manusia dapat hidup dengan aman dan tenteram serta mendapat hak yang selayaknya bagi diri mereka.

Dalam sebuah negara yang menganggap negara tersebut sebuah negara Islam adalah tidak mencukupi dengan hanya anggapan tersebut sahaja tanpa mempraktikkan apa yang dikehendaki oleh Islam itu sendiri. Menubuhkan sebuah mahkamah yang menjalankan hukuman berlandaskan hukum syara’ adalah menjadi salah satu kewajipan sebuah negara Islam itu. Memperbaiki dan meningkatkan sistem kehakiman itu juga adalah termasuk salah satu dari kewajipan itu.

Di negara Brunei Darussalam menurut sejarah, sistem undang-undang Islam telah lama wujud dan ianya merupakan sistem keadilan asal di negara ini. Namun ianya semakin mengecil dari berbagai sudut termasuk bidangkuasanya setelah adanya campurtangan Inggeris dalam pentadbiran negara. Kemudian keadaan dapat diperbaiki dan semakin baik dari tahun ke tahun sehinggalah pada masa kini dengan tertubuhnya Mahkamah-Mahkamah Syariah. Tertubuhnya Mahkamah-Mahkamah Syariah boleh dianggap sebagai mengembalikan ke zaman kegemilangan Brunei dengan Undang-Undang Islam yang pernah wujud pada satu ketika dahulu.

Sejarah Awal Mahkamah Kadi di Negara Brunei Darussalam

Dalam artikel ini penulis akan menerangkan secara ringkas sejarah Mahkamah Kadi di  negara Brunei Darussalam bermula selepas campurtangan Inggeris terhadap hal ehwal dalaman negara Brunei Darussalam sehinggalah selepas penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah dan ini dapat dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu:

1-Undang-Undang Brunei selepas tahun 1908.
2-Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955.
3-Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984.
4-Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah, Penggal 184.


Undang-Undang Brunei selepas tahun 1908

Menurut kajian sejarah negara Brunei Darussalam, adalah sangat jelas kepada kita bahawa undang-undang yang digunapakai di Brunei pada ketika sebelum perjanjian persahabatan antara Brunei dengan Inggeris pada tahun 1908 adalah undang-undang Islam yang berdasarkan hukum syara’ iaitu merujuk kepada Hukum Kanun Brunei.

Pada tahun 1908 masehi setelah dengan secara rasminya kerajaan Brunei mengikat perjanjian persahabatan dengan kerajaan Inggeris, kehakiman di negara Brunei Darussalam telah terbahagi kepada dua iaitu :

1-Mahkamah Sivil
2-Mahkamah Kadi

Kerajaan Inggeris telahpun menubuhkan Mahkamah Kadi dengan bidangkuasa yang terhad mengenai nikah cerai orang-orang Islam atau lebih terkenal dengan undang-undang diri sahaja (personal law) yang terkenal dengan Muhammadans Laws. Dengan penubuhan Mahkamah Kadi tersebut telah menyempitkan undang-undang Islam yang telah lama berjalan di Brunei sebelum itu. Yang mana penubuhan Mahkamah tersebut hanyalah membicarakan perkara yang bersangkut paut dengan undang-undang yang hampir keseluruhannya berkisar mengenai kesalahan-kesalahan mengenai ibadat dan peraturan keluarga khususnya nikah dan cerai orang-orang Islam dan peraturan pendaftarannya.sahaja.

Adalah nampak jelas perbezaan antara bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Kadi yang ditubuhkan oleh Inggeris pada ketika itu, yang mana Mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa yang meluas yang menyeluruh sedangkan Mahkamah Kadi bidang kuasanya adalah terhad dan sempit. Dalam kes-kes jenayah Mahkamah Kadi hanya mempunyai bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman denda tidak lebih daripada sepuloh ringgit dan penjara tidak lebih daripada 14 hari.(Annual Report of The State of Brunei 1933, Cap XIII)

Dalam kes-kes ulangbicara telah diletakkan dalam bidang kuasa Residen Inggeris dalam Mahkamah Majisterit Kelas 1.(Annual Report of The State of Brunei 1933, Cap XIII). Dari laporan itu menunjukkan bahawa yang menjadi Hakim Mahkamah Rayuan tersebut ialah Residen Inggeris sendiri. Ini bermakna jika ada rayuan dilakukan oleh pihak-pihak yang bertikai maka rayuan tersebut akan didengar dan diputuskan oleh Residen Inggeris  atas kapasitinya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna Hakim Inggeris lebih berwibawa dan berkuasa dalam mengendalikan kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Kadi.

Dengan perancangan yang teliti pihak Inggeris tersebut, ianya telah benar-benar berjaya mengenepikan undang-undang Islam dan berjaya mengenepikannya untuk tidak lagi menjadi undang-undang asas negara Brunei pada ketika itu.

Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955

Mahkamah Kadi sejak dari awal penubuhannya sehinggalah ke tahun 1956 masehi, tidak mengalami perubahan sebagaimana Mahkamah Sivil mengalami perubahan dan kemajuan yang pesat. Sehinggalah pada tahun 1956, Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 dikuatkuasakan.

Jika dilihat kepada Undang-Undang tersebut, bidangkuasa Mahkamah Kadi (bukan merujuk bidang kuasa Mahkamah Kadi Besar) dalam takluk kuasa jenayahnya membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seorang Islam tidak lebih daripada satu bulan penjara atau denda sebanyak $100 ataupun kedua-duanya bersekali. Ini disebut dalam peruntukan tersebut dalam bab 48 Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955.:

(2)       Maka hendak-lah Mahkamah Kathi -

(a)       dalam ta’alok kuasa jenayah-nya membichara mana2 kesalahan yang di-lakukan oleh sa-orang Islam dan yang boleh di-hukumkan di-bawah undang2 ini dengan hukuman bagi-nya itu telah di-tetapkan oleh undang2 tidak lebeh daripada satu bulan penjara atau denda sa-banyak $100 atau pon kedua2-nya bersekali dan boleh meletakkan apa2 hukuman yang di-sharatkan bagi-nya ;

Manakala dalam takluk kuasa malnya mendengar dan memutus segala perguaman dan perbicaraan mengikut bagaimana kuasa Mahkamah Kadi Besar pada mendengar dan memutuskan dalam mana jumlah wang atau harga perkara itu tidak lebih daripada $500 atau yang tidak dapat dianggarkan harganya dengan wang merujuk bab 48(2) Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955:

            (b)       dalam ta’alok kuasa mal-nya mendengar dan memutus segala perguaman dan perbicharaan mengikut bagaimana kuasa Mahkamah Kathi Besar pada mendengar dan memutuskan dalam mana jumlah wang atau harga perkara itu tidak lebeh daripada $500 atau yang tidak dapat di-anggarkan harga-nya dengan wang.

Dalam peruntukan tersebut adalah jelas kedudukan bidang kuasa Mahkamah Kadi iaitu :

Dalam kuasa jenayahnya hanya boleh memenjara selama satu bulan atau mendenda sebanyak $100 atau atau kedua-duanya sekali. Dalam kuasa malnya mendengar dan memutuskan dalam jumlah wang atau harga perkara itu tidak lebih daripada $500 atau yang tidak dapat dianggarkan harganya dengan wang.

Dalam Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 ini juga terdapat perubahan dalam kes-kes rayuan yang mana kes-kes rayuan tidak lagi didengar oleh Majistret Kelas 1 yang mana Residen Inggeris selaku Hakimnya, tetapi ianya didengar oleh Jawatankuasa Ulang Bicara yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan sebagaimana yang dinyatakan dalam bab 44 dari Undang-Undang tersebut. Dan keputusannya berkuatkuasa setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dalam Majlis Mesyuarat Ugama Islam.

Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984

Pada tahun 1984 semasa penyemakan semula Undang-Undang Brunei (Rivision of Laws Brunei), Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 telah turut disemak semula dan telah mengalami beberapa pindaan, disamping menukar namanya kepada Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984. Pindaan ini telah membawa perubahan stuktur Mahkamah Kadi dan bidangkuasa Kadi.

Bidangkuasa Mahkamah Kadi (bukan bidang kuasa Mahkamah Kadi Besar) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan yang boleh dihukum di bawah Akta ini yang mana hukuman maksimum yang ditetapkan oleh undang-undang tidak melebihi hukuman penjara selama satu bulan atau denda sebanyak $1000 atau kedua-duanya sekali.

Bab 48 dari Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984 menyatakan:

(2)               Mahkamah Kadi hendaklah-

(a)       dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan yang boleh dihukum di bawah Akta ini yang mana hukuman maksimun yang ditetapkan oleh undang-undang tidak melebihi hukuman penjara selama satu bulan atau denda sebanyak $1000 atau kedua-duanya sekali, dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang ditetapkan ;

Manakala dalam bidang kuasa sivilnya, membicarakan dan menetapkan semua tindakan dan perbicaraan sebagaimana Mahkamah Kadi Besar diberikan kuasa untuk membicarakan dan menetapkan, dalam mana jumlah atau harga tersebut tidak melebihi $5,000 atau tidak boleh dianggarkan dengan wang merujuk bab 48(2) :

(b)       dalam bidang kuasa sivilnya, membicarakan dan menetapkan semua tindakan dan perbicaraan sebagaimana Mahkamah Kadi Besar diberi kuasa untuk membicarakan dan menetapkan, dalam mana jumlah atau harga perkara tersebut tidak melebihi $5,000, atau tidak boleh dianggarkan dengan wang.

Berdasarkan kepada peruntukan tersebut adalah jelas perbezaan dan pertambahan bidang kuasa Mahkamah Kadi antara Undang-Undang Ugama dan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1955 dan Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahakamh Kadi Penggal 77 Pindaan 1984. Peningkatan dari jumlah denda dan kelamaan hukuman penjara dalam kes jenayah telah dibuat. Begitu juga dalam kes sivil yang mana kedua–dua peningkatan bidang kuasa ini adalah bersesuaian mengikut kehendak semasa.

Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah, Penggal 184

Dengan adanya perubahan yang dilakukan dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984, ianya masih belum mencukupi dan memadai dengan perubahan yang berlaku di Mahkamah Sivil. Ini adalah kerana beberapa perkara yang masih nampak jurang perbezaan dan kedudukan Mahkamah Kadi yang masih nampak kecil bidang kuasaanya jika dibandingkan dengan Mahkamah Sivil.

Memandangkan pada masa kini tuntutan dan keperluan kehidupan semakin meningkat dan memerlukan kos yang semakin tinggi, maka sudah setentunyalah tuntutan-tuntutan yang dibuat kepada mahkamah semakin meningkat. Dan jika ada tuntutan yang melebihi dari bidang kuasa Mahkamah Kadi, sudah setentunyalah Mahkamah Kadi Besar akan mengendalikan kes tersebut, sedangkan Mahkamah Kadi Besar cuma terdapat dua orang Hakim yang diberikuasa mengendalikan kes-kes yang melebihi had bidang kuasa Mahkamah Kadi iaitu Kadi Besar dan Timbalan Kadi Besar. Jika ini terjadi sudah pasti jumlah kes semakin meningkat dari tahun ke tahun. Dan sudah pasti juga keadilan yang dituntut akan tertangguh.

Mungkin berdasarkan kepada antara faktor-faktor tersebut maka pada tahun 1998 satu Perintah Darurat penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah telah dibuat pada 1hb Muharram 1422 hijrah bersamaan dengan 26hb Mac 2001 masehi di bawah Perintah Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184. Penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah ini ada pernah dititahkan oleh Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15hb Julai 1996 sempena hari keputeraan baginda ke 50 tahun di Istana Nurul Iman:

“Oleh itu, dengan rasa keimanan  yang bulat terhadap peraturan dan undang-undang Allah, maka beta telah memperkenankan penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya bagi menangani bukan sahaja pentadbiran undang-undang keluarga, malahan juga di ketika yang sesuai dan munasabah akan juga mengendalikan Qanun Jina’i Islam yakni Islamic Criminal Act selengkapnya sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wataala.“

Dengan adanya titah tersebut dan peruntukan undang-undang telah digubal, maka satu perubahan besar telah berlaku dalam institusi perundangan di Negara Brunei Darussalam. Yang jelas, perubahan yang berlaku tersebut telah merubah struktur Mahkamah-Mahkamah Kadi yang sedia ada kepada struktur Mahkamah-Mahkamah Syariah. Perubahan yang besar tersebut juga membabitkan perubahan bidang kuasa Mahkamah Kadi daripada terhad kepada yang lebih luas. Apa yang turut berubah ialah nama Mahkamah-Mahkamah Kadi itu sendiri kepada Mahkamah-Mahkamah Syariah.

Struktur atau heraki Mahkamah-Mahkamah adalah seperti berikut:

1-Mahkamah Rendah Syariah
2-Mahkamah Tinggi Syariah
3-Mahkamah Rayuan Syariah.

Dalam Perintah Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 ketiga-tiga Mahkamah tersebut telahpun diberikan bidang kuasa yang berlainan mengikut peruntukan tersebut.

Ketiga-tiga Mahkamah ini diketua oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syar’ie. Pentadbiran harian Mahkamah-Mahkamah Syariah ditadbir oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah yang bertanggungjawab mengendalikan tugas-tugas yang berhubungkait dengan hal ehwal pengurusan kepegawaian, kakitangan serta hubungan dengan institusi-institusi kerajaan dan swasta yang lainnya. Di dalam pentadbiran Mahkamah, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah dibantu oleh Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah seluruh negara.

Di sini penulis hanya meyentuh mengenai dengan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah yang mana dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah sebarang undang-undang bertulis yang memperuntukan kesalahan-kesalahan jenayah syariah, yang mana hukuman maksimum yang diperuntukan tidak melebihi sepuloh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali merujuk peruntukan di bawah bab 16(1) Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184:

16.              (1) Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah hendaklah-

(a)                dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum di bawah sebarang undang-undang bertulis yang memperuntukan kesalahan-kesalahan jenayah syariah, yang menetapkan kesalahan-kesalahan jika hukuman maksimum yang diperuntukan tidak melebihi sepuloh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang diperuntukan baginya

Manakala dalam bidang kuasa malnya pula diberikan kuasa menurut bab 16(1)(b) yang menyatakan:

(b)               Dan dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskan, jika jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.

Setelah ditubuhkan Mahkamah-Mahkamah Syariah, maka telah diperkenankan pula perlaksanaan beberapa Akta yang antaranya :

1-Perintah Undang-Undang Keluarga Islam, 1999.
2-Perintah Pengangkatan Kanak-Kanak Dalam Islam, 2001.
3-Perintah Keterangan Mahkamah Syariah, 2001.
4-Perintah Acara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah, 2005
5-Perintah Pajak Gadai

Perubahan-perubahan yang disebutkan itu tadi menampakkan akan kemajuan sistem perundangan dan kehakiman Brunei khususnya sistem perundangan Islam dari berbagai sudut. Selepas dari perubahan-perubahan yang disebutkan tadi pasti akan banyak lagi perubahan yang akan berlaku yang berhubung dengan Mahkamah-Mahkamah Syariah sesuai dengan kehendak hukum syara’, apatah lagi negara kita sekarang ini sedang menuju menjadi sebuah negara zikir sepertimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kesimpulan:

Kesimpulan dari apa yang dinyatakan tadi bermula dari dari sejarah awal penubuhan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1908 sehinggalah penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah 2001 menampakkan perbezaan yang ketara dan juga kemajuan yang pesat sistem perundangan dan kehakiman Brunei. Dari bidang kuasa Mahkamah Kadi yang sangat kecil kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sangat luas. Dari hanya terdapat satu Akta kepada lebih banyak peruntukan bidang kuasa undang-undang diberikan. Semua ini menampakkan akan kemajuan dalam sistem perundangan dan kehakiman Brunei.

Dengan penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah dengan bidang kuasa yang ada sekarang kita boleh melihat beberapa keistimewaan yang terdapat dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah yang antaranya ialah:

1-Keluasan kawasan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah bukan hanya bagi kesalahan yang dilakukan dalam negara Brunei Darussalam bahkan mempunyai bidang kuasa terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara Brunei Darussalam oleh warganegara atau penduduk tetap negara Brunei Darussalam. Contohnya jika seorang warga negara Brunei meminum minuman yang memabukkan di luar negara Brunei contohnya, orang tersebut boleh didakwa di Mahkamah Syariah di negara ini. Begitu juga misalnya kesalahan persetubuhan haram dilakukan di luar negara boleh juga didakwa di Mahkamah Syariah di negara ini. Ini merujuk bab 6(3) dari Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 yang menyatakan:

(6)(3)   Dengan tidak menghiraukan ceraian (2), Mahkamah-Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa jenayah terhadap kesalah yang dilakukan di luar Negara Brunei Darussalam oleh warganegara atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

2-Pihak-pihak yang terkilan dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah boleh memohon rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah dan jika tidak berpuashati juga dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pihak yang terkilan boleh merayu sehingga ke  peringkat Mahkamah Rayuan Syariah. Ini adalah berbeza dengan prosedur rayuan  semasa Mahkamah Kadi sebelum ini yang mana rayuan hanya akan didengar diperingkat Jawatankuasa Rayuan sahaja.

Ini merujuk bab 17(1) Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah Penggal 184 yang menyatakan:

17.(1)   Suatu rayuan hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap apa-apa keputusan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah.
                       
Dan juga merujuk bab 20(1) yang menyatakan:

            20(1)   Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa raayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

3-Salah satu perkara baru yang terdapat dalam Akta Penggal 184 ialah mengenai dengan bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Tinggi ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah. Peruntukkan yang diberikan dalam undang-undang tersebut adalah tidak terdapat dengan jelas di dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 Pindaan 1984. Dengan adanya peruntukkan tersebut adalah memudahkan Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau mana-mana pihak kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat penyemakan pada mana-mana peringkat dalam sebarang perkara atau prosiding. Setakat ini dalam pengetahuan penulis Mahkamah Rendah Syariah ataupun pihak-pihak yang bertikai telahpun menggunakan dengan sebaiknya peruntukkan tersebut dalam kes-kes yang dibicarakan. Dengan adanya peruntukan tersebut adalah memberi banyak faedah bukan sahaja kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah bahkan juga kepada mana-mana pihak yang berkenaan.

Merujuk bab 19(1):

19(1)   Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika didapati perlu, demi kepentingan keadilan, sama ada atas usulnya sendiri atau atas mana-mana permohonan mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam sebarang perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, meminta dan meriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh membuat apa-apa perintah yang perlu demi kepentingan keadila.

Dan dalam bab 21(1):

21(1)   Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika didapati perlu, demi kepentingan keadilan, sama ada atas usulnya sendiri atau atas mana-mana permohonan mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam sebarang perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, meminta dan meriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh membuat apa-apa perintah yang perlu demi kepentingan keadila.

4-Dan salah satu perkara yang sangat penting dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sebelum ini tidak terdapat dalam bidang kuasa Mahkamah Kadi ialah mengenai dengan kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut ugama Islam.

Dengan adanya peruntukkan tersebut maka Mahkamah selain dari Mahkamah Syariah adalah tidak lagi mempunyai kuasa terhadap mana-mana tuntutan yang salah satu pihak berugama Islam. Dalam kes sebelum ini pada kelazimannya pihak yang tidak berugama Islam akan membuat tuntutan di Mahkamah sivil untuk mendapatkan haknya. Bila terjadi demikian maka Mahkamah Sivil akan mempunyai hak membicarakan kes tersebut dan mengenepikan kuasa Mahkamah Kadi.

Peruntukan bab 5 Akta Mahkamah-Mahkamah Syariah, 1998 yang menyatakan tidak ada Mahkamah selain Mahkamah-Mahkamah Syariah sahaja yang hanya berbidang kuasa untuk mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di bawah bidang kuasa Mahkamah-Mahkamah Syariah.

Bab 5.             Bagi mengelakkan sebarang keraguan, adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tiada mahkamah selain dari sesebuah mahkamah yang ditubuhkan di bawah Bahagian II boleh mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di bawah bidang kuasa Mahkamah-Mahkamah Syariah.

Manakala di dalam peruntukan bab 5(1) dan (2) Perintah Darurat Undang-Undang Keluarga Islam, 1999 adalah jelas menyatakan bidang kuasa Mahkamah untuk mendengar bilamana dalam satu-satu kes itu salah satu pihak adalah berugama Islam.

Bab 5(1)         Dengan tidak menghiraukan peruntukan-peruntukan sebarang undang-undang bertulis lain yang berlawanan. Perintah ini hendaklah dikenakan dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut ugama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak sama ada atau tidak dia menganut ugama Islam, bermukim di dalam negara ini atau bermastautin di dalam negara ini tetapi bermukim di luar negara.

Bab 5(2)         Bagi mengelakkan sebarang keraguan adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tiada Mahkamah selain dari sesebuah Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Bahagian II bagi Perintah Darurat (Mahkamah-Mahkamah Syariah) 1998 mempunyai bidangkuasa untuk mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut ugama Islam dan yang berkaitan dengan apa-apa perkara yang berbangkit di dalam Perintah ini.

Berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas bidang kuasa mahkamah untuk mendengar prosiding bilamana salah satu pihak adalah berugama Islam.

Demikianlah di antara contoh-contoh keistimewaan dan perbezaan yang terdapat dalam bidang kuasa Mahkamah-Mahkamah Syariah.yang mana memberi kesan yang baik kepada kedua pihak orang awam dan mahkamah itu sendiri.

Perkara ini menampakkan satu kemajuan institusi kehakiman di negara Brunei Darussalam. Ianya sangat jelas banyak menguntungkan orang ramai yang berurusan dengan mahkamah dan ianya juga memudah cara banyak pihak dalam urusan mahkamah.

Di samping itu juga ianya banyak membantu ramai pihak yang menuntut keadilan yang mana sebelum ini kebanyakkan peruntukkan undang-undang yang diberikan adakalanya kurang jelas dan tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana kekurangan peruntukkan undang-undang.

Kesimpulannya, perubahan yang berlaku dalam sistem kehakiman di negara Brunei Darussalam ini khususnya Mahkamah-Mahkamah Syariah adalah satu perubahan yang amat penting bagi negara ini yang mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja sebagai ideologinya. Dan jika merujuk tahun bermula penubuhan Mahkamah-Mahkamah Kadi 1908 sehingga ke tahun ini tahun 2008 ini menunjukkan sudah genap 100 tahun wujudnya Mahkamah-Mahkamah Syariah di negara Brunei Darussalam ini. Semoga dengan genapnya 100 tahun usia Mahkamah-Mahkamah Syariah ini akan bertambah unggul lagilah kedudukannya. Dan semoga usaha memertabatkan Islam sebagai ideologi negara akan bertambah mantap lagi dan mendapat keredhaan Allah subhanahu wataala di bawah pimpinan raja yang dikasihi.AMIN.



 *Artikel ini telah disiarkan di Akhbar Rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam "Pelita Brunei" pada 27 Disember 2008 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan